PRN: Undi rakyat kepada PN sanggah fitnah PH-BN




KEPUTUSAN status quo telah diperolehi dengan PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertahankan Kedah, Kelantan serta Terengganu, serta bilangan kerusi yang berjaya ditawan oleh PN adalah 146 dari 245 merupakan suatu pencapaian terbaik.
Saya optimis bahawa PN mempunyai masa depan cerah sebagai pembela kaum Melayu- Islam dan rakyat yang mahukan kerajaan yang berintegriti.

Selain keputusan cemerlang dalam PRU15 yang lalu, PN berjaya membuka langkah kanan di Negeri Sembilan dengan 5 kerusi dan memberi cabaran sengit dengan menafikan majoriti 2/3 dalam DUN Selangor.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh pesta demokrasi PRN yang lalu, ia dicemari dengan perkara yang bersalahan dengan semangat demokrasi.

Kempen oleh Kerajaan PH-BN yang diketuai YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenuhi dengan tatakelola yang bercanggah semangat demokrasi.

Pelbagai serangan fitnah, bohong serta penyalahgunaan harta dan jentera kerajaan digunakan sesuka hati sepanjang tempoh berkempen.

Dapat kita perhatikan di sepanjang tempoh berkempen, individu yang paling teruk difitnah dan diserang dengan persepsi bohong dan jahat adalah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Ia seolah pertembungan antara Kerajaan Malaysia dengan individu bernama Sanusi.

Tidak cukup dengan bermukimnya Menteri KDN di Kedah sepanjang tempoh kempen, Perdana Menteri ke-10 (PMX) juga dilihat kerap turun ke Kedah berkempen. Kemuncaknya sebahagian besar kabinet berada di Kedah di penghujung kempen PRN.

Agak janggal YB Menteri KDN membuat sidang akhbarnya setiap hari memfitnah Sanusi seolah beliau adalah Menteri yang tidak berportfolio atau berportfolio Sanusi.

Tugasan beliau sebagai YB Menteri KDN untuk menyelesaikan kepentingan negara seperti yang berlaku di KLIA dibiarkan begitu saja seolah keselamatan negara tidak penting.

Agak menjadi suatu kehairanan apabila fitnah dan cerita bohong dimainkan setiap hari oleh YB Menteri ini seolah beliau tidak mempunyai agensi untuk menyiasat dan melakukan tindakan jika beliau mempunyai bukti kukuh.

Sidang akhbar setiap hari umpama kenyataan dari seorang pembangkang dan bukannya seorang Menteri.

Rakyat akhirnya merasa menyampah dengan semua tuduhan fitnah dan pembohongan yang dilakukan. Lalu, rakyat menggunakan hak undi mereka dengan menyokong PN menyanggah segala yang dibuat oleh PH-BN itu.

YB DATO’ SRI USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
21 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 21/8/2023

Ulasan