REE: Saifuddin diamkan 59 lombong haram di negeri lain




KUALA KEDAH: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, terdapat 60 lombong haram unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara sebagaimana pernah diakui seorang Ketua Setiausaha Kementerian.
Menurut beliau, maklumat tersebut pernah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang turut dihadiri oleh semua Menteri di mana MTN tersebut dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun bidas Sanusi, hanya menyerang Kedah sahaja tanpa membangkitkan dan menyiasat kejadian sama yang turut berlaku di negeri-negeri lain.

“(Ada) 59 lagi di negeri lain. Lepas (kes di Kedah) itulah baru terbongkar di Negeri Sembilan ada, di Pahang ada, di Perak ada. Awat (kenapa) tak pi siasat? Pasaipa (sebab apa) hangpa (kamu semua) mai (mari) di Kedah saja?

“Pasai hangpa nak bunuh (reputasi) Sanusi. (Ada) 59 lagi awat hangpa tak pi siasat? Pasal Negeri Sembilan tu kan (diperintah) PKR, jadi hangpa biar pejam mata. Negeri Pahang, kan BN campur DAP, jadi hangpa pejam mata.

“Negeri Perak, kan Umno campur DAP? Hangpa pejam mata. Negeri Kedah, kan Sanusi? (Sebab tu) Hangpa mai (siasat). Nampak sangat hangpa jahat. Bukan hangpa nak cari kebenaran. Hangpa nak ambil isu, nak jadi modal pilihan raya.

“Pasaipa Pudin mai Kedah saja. Hangpa tanya dia pasal apa hang pulun (bersungguh) sini saja. Ada 59 lagi, di tempat lain awat hang tak pi? Dan pasal apa ‘attack’ masa pilihan raya? Pasaipa tak ‘attack’ sebelum ni?

“Ataupun tak ‘attack‘ selepas pilihan raya? Pasal nak main politik. Hang nak ambil kesempatan isu REE ini untuk memburukkan orang,” bidasnya pada Sembang Santai di Taman Seri Putra, di sini semalam.

Saifuddin telah melontarkan dakwaan bahawa berlaku perlombongan haram REE dan menuduh ianya dicuri oleh Sanusi melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di dalam hutan simpan di Bukit Enggang, Sik.

Katanya, oleh kerana negeri lain tersebut diperintah Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) iaitu PKR, Umno dan DAP, maka kecurian seperti dituduhkan oleh Setiausaha Agung PKR itu didiamkan sahaja.

Sanusi juga menempelak Saifuddin kerana ketika kes tersebut masih dalam siasatan agensi penguat kuasa, tetapi Menteri tersebut telah mengambil maklumat di tengah jalan dan mendedahkannya keluar.

“Ambil maklumat pi dedah, suruh orang jawab. Itu bukan tatakelola. Tak boleh buat kerja (siasatan) agensi-agensi atau jabatan, ambil separuh jalan, lempar, bagi orang jawab. Bagi orang bina persepsi negatif.

“Dia (Saifuddin) kata dia nak heret isu ini dua minggu sepanjang kempen (PRN). Maka dia ambil separuh masak punya maklumat, tak selesai lagi siasatan, lempar suruh kita jawab. Dibina persepsi kata orang ini ada bersalah, orang ini ada masalah.

“Tak boleh (buat) agensi, jabatan kerajaan jadi alat macam itu. Kang ‘kantoi’ nanti itu, jadi Pudin, nak jadi Menteri kena belajar dulu. Hormat agensi dan jabatan punya peranan dan fungsi dan tanggungjawab. Baru selesai masalah kita.

“La ni bukan dia nak selesai masalah itu. Dia nak bina persepsi. Pasal dia kata Dato’ Seri Anwar (Ibrahim) arah saya dan Rafizi (Ramli), bina naratif ini serang Sanusi, betul tak? Anwar arah depa kan?

“Adakah ini arahan yang wajar atau tidak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri? Kita tak boleh guna kedudukan kita sebagai KDN ke, sebagai PM untuk bina kepentingan politik kita atas jawatan itu.

“Sebab itu saya tak pernah guna jabatan apa pun di negeri ini untuk kempen bagi pihak saya, tak pernah guna. Saya tak pernah guna agensi dan jabatan kerajaan untuk meraih undi untuk parti saya.

“Yang hangpa cakap pasal ‘good governance’ pasal tatakelola, tapi hangpa semua ke laut. Hangpa cakap tak serupa bikin. Tang ni ada kepentingan hangpa pi duk,” selar Sanusi.

Ulasan