Tak usah jadi hero bantah Modul Penghayatan Hadis 40




KOTA BHARU: Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengkritik tindakan segelintir pihak yang membantah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.


Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut dibenarkan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pendidikan 1996.

Katanya, seksyen berkenaan menyebut bahawa murid-murid hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh pihak berkuasa negeri jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima murid atau lebih yang menganut agama Islam.

“Oleh itu tiada sebab untuk membantah inisiatif KPM untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 289 sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid yang beragama Islam.

“Pihak membantah sama ada dari parti mana sekalipun atau NGO perlu sedar realiti dalam akta pendidikan tersebut. Tak usahlah menjadi hero pula dalam isu ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Kontroversi berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi itu mula timbul apabila segelintir pihak menyuarakan bantahan selepas KPM pada 19 Ogos lalu memaklum akan melaksanakan inisiatif berkenaan pada 19 Ogos lalu.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan modul tersebut untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.

Katanya, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam dan akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara. – HARAKAHDAILY 27/8/2023

Ulasan