The Giant Killer : Pak Su Die juara kalahkan calon `gergasi'




ALOR SETAR: Mohd Radzi Mat Amin atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Die boleh dianggap juara kerana dapat menewaskan pemimpin hebat dan ternama Barisan Nasional (BN) peringkat negeri dan negara.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu berjaya mengalahkan Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan majoriti besar, iaitu 6,373 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Ketika ditanya mengenai formula dapat mengalahkan bekas Menteri Besar Kedah dengan mudah, katanya ini kerana kekerapan turun padang menyantuni masyarakat di DUN itu yang kebanyakan bekerja sendiri dan menoreh getah.

“Tak ada apa-apa formula pun, penggal lepas pun saya banyak turun ke lapangan, jumpa masyarakat di bawah, bertanya khabar dan membantu sedaya saya apabila mereka ditimpa kesusahan,” jelasnya.

Kata Pak Su Die, janji-janji yang ditabur calon BN tidak lagi diambil peduli penduduk tempatan kerana sepanjang tempoh tiga tahun penggal lalu, beliau sudah mengambil cakna apa juga keperluan semasa rakyat.

“Banyak dah kita selesaikan apa-apa keperluan rakyat termasuk yang mereka (BN) tak tunaikan pada dua penggal lepas,” tambahnya.

Selain itu, katanya kegagalan kerajaan Persekutuan menangani masalah ekonomi rakyat membuat pengundi tidak lagi memberi harapan kepada calon PH-BN.

Malah, katanya gelombang sokongan rakyat terhadap PN semakin meningkat sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi.

Mahdzir adalah antara calon PH-BN yang dianggap ‘gergasi’ dalam dunia politik kerana turut pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Malah Mahdzir pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Terap beberapa penggal namun cubaannya pada PRU15 lalu untuk merampas kembali parlimen itu tidak berjaya.

Pada PRU15 lalu, beliau kecundang kepada Ustaz Nurul Amin Hamid yang bertanding mewakili PN. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

Ulasan