Umno punca kejatuhan BN selepas 60 tahun kuasa

 


BAKRI: PAS pada sejarah penyertaannya dalam 15 kali PRU, hanya dua kali secara bersendirian, manakala 13 kali lagi adalah bersama rakan-rakan komponen dalam muafakat politik.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sentiasa mahu meneguhkan kekuatan penyatuan ummah sebagaimana diusahakan bersama Umno dan BERSATU untuk PRU15.

Malah PAS tegas beliau, tidak pernah mengkhianati rakan komponen, namun sebaliknya Umno apabila mula rasa kuat dan gah semula, akhirnya lupa diri dan mengabaikan kesatuan bersama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berucap demikian pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.12 Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini semalam.

Menurutnya, selepas PRU14, Umno-Barisan Nasional (BN) hanya tinggal memerintah dua negeri iaitu Perlis dan Pahang, tetapi PAS tetap datang kepada parti itu demi penyatuan ummah.

“Setelah PRU14, banyak PRK. PAS turun membantu Umno. Umno menang satu demi satu PRK, hingga dia mula rasa kuat semula, rasa gah semula. Akhir dia lupa bahawa dia menang bukan kerana kekuatan yang ada pada dia.

“Sebab itu kita nak ukur kawan ni, jangan ukur waktu senang, ukur waktu kita susah. Siapa sahabat waktu kita susah. BN selepas PRU14 hilang 14 parti komponen semua keluar meninggalkan Barisan Nasional (BN).

“Yang tinggal dalam BN (hanya) Umno, MIC, MCA pada waktu itu. Tapi bila Umno dah mula rasa kuat, tiba-tiba dia tukar Menteri Besar Johor, daripada BERSATU kepada Umno. Ingat tak?

“Kemudian dia bergerak ke Melaka, dia tukar Ketua Menteri Melaka daripada BERSATU kepada Umno. Kemudian dia pergi ke Perak buat undi tak percaya kepada Peja (Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu) turun ganti dengan Umno.

“Di peringkat Persekutuan, walaupun duk bersama dalam kerajaan tiba-tiba dia boleh tarik sokongan pada Tan Sri Mahyuddin (Yassin) 12 orang tarik sokongan menyebabkan Tan Sri Muhyiddin jatuh.

“Tapi besar jiwa besar Tan Sri Muhyiddin, menghadap Tuanku Agong beritahu dia letak jawatan setuju menggantikan Dato’ Sri Ismail Sabri (Yaakob) daripada Umno. Bayangkan yang menumbangkan dia Umno.

“Tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin boleh setuju calonkan Umno jadi Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri. Ini jiwa kita nak tengok negara kita stabil, politik kita harmoni. Biar seorang saja turun Kabinet kekal, tukar Perdana Menteri.

“Kalau kira dendam, kalau kira iri hati, kalau kira sakit hati, Umno yang menarik sokongan menyebabkan dia tumbang, takkan dilantik Umno semula? Ini jiwa besar,” ujar beliau yang juga ADUN Cheka, Pahang.

Memasuki PRU15, PAS kata Dato’ Sri Tuan Ibrahim, tidak khianat kepada kawan dan kerana itu terus bersama BERSATU sebagai PN untuk lawan Umno-BN dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Hasilnya kata beliau, gelombang rakyat telah menolak Umno-BN hingga kecundang berbanding PN termasuk pada PRN baru-baru ini PAS menerima sokongan rakyat sebanyak 82.7% berbanding Umno cuma 17.6%.

Malah bentangnya, Menteri-menteri Besar daripada PAS menerima lonjakan kemenangan dengan undi majoriti jauh lebih besar dari sebelumnya, sedangkan Menteri Besar dan Ketua Menteri PH merosot.

“PN mendapat lonjakkan yang sangat luar biasa. Ini mencerminkan keyakinan rakyat kepada PN untuk mengambil alih menerajui kerajaan sama ada negeri ataupun Persekutuan,” ujarnya.

Menurut beliau, kejatuhan Umno setelah pernah berkuasa lebih 60 tahun itu adalah senasib sebagaimana pernah dihadapi LDP Jepun dan Golkar Indonesia disebabkan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau mengajak untuk menjadikan PRK di Johor dan Pahang pasca-PRU15 dan PRN tersebut sebagai kesempatan untuk menoktahkan Umno-BN dan PH dari politik Malaysia. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

Ulasan