Ustaz Nassuruddin Daud menyambung legasi ulamak




ALHAMDULILLAH sekalung tahniah serta takziah ke atas pelantikan YAB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru.Ayah beliau adalah seorang ulamak yang terkenal di Pasir Mas khususnya dan Kelantan amnya suatu ketika dahulu yang disebut dengan panggilan Tuan Guru Haji Daud Meranti.

Manakala datuknya pula, Tuan Guru Haji Yusof Bin Haji Ibrahim adalah ulamak tempatan yang sempat belajar dengan Tok Pulau Ubi dan Tuan Guru Haji Abdul Somad Geting.

Ini bermakna, keturunan YAB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin berasal dari keluarga alim ulamak yang berpendidikan luas dalam bidang agama.

Sedikit biografi Tuan Guru Haji Daud Meranti.

Tuan Guru Haji Daud Bin Haji Yusof dilahirkan di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1920. Ibunya bernama Khadijah Binti Samah. Allahyarham merupakan anak sulung dari empat orang adik beradik.

Ayahnya, Tuan Guru Haji Yusof Bin Haji Ibrahim merupakan seorang tokoh ulamak setempat di zamannya dan murid kepada Tok Pulau Ubi dan Tuan Guru Haji Abdul Somad Geting.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Pondok Kubang Bemban, Pasir Mas berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Ghani dan seterusnya ke Pondok Bunohan belajar daripada Tuan Guru Haji Salleh Pedada.

Ketika berusia 14 tahun, ayahnya telah menghantar beliau melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukaramah dengan mendaftarkan diri sebagai pelajar di Madrasah Darul Ulum. Pada sebelah petang dan malam pula beliau menuntut ilmu di Masjidil Haram.

Di antara guru beliau ialah:

1. Tuan Guru Haji Daud Haji Ibrahim – ayahnya.
2. Tuan Guru Haji Abdul Ghani, Pondok Kubang Bemban.
3. Tuan Guru Haji Salleh, Pondok Pedada.
4. Syeikh Muhammad Yassin Isa al-Fadani.
5. Sayyid Muhammad Amin Kutbi.
6. Sayyid Alwi Abbas al-Maliki.
7. Syeikh Muhammad al-Arabi.
8. Syeikh Abdul Rahman Bin Syeikh Muhammad Khatib al-Malebari.
9. Syeikh Ibrahim al-Fathani.
10. Syeikh Sulaiman Ambon.
11. Syeikh Hassan al-Yamani.
12. Syeikh Noh al-Kalantani.
13. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili.
14. Syeikh Hussin Palembang.

Selepas 15 tahun di Makkah, beliau pulang ke Pasir Mas dan menetap di Kampung Meranti pada tahun 1949. Pada peringkat awal, beliau mengajar di madrasah berhampiran rumahnya dan seterusnya mendirikan sebuah pondok pengajian di situ.

Tuan Guru pernah diberi kepercayaan menjadi calon PAS dalam pilihan raya 1959 dan 1964 dan beliau telah berjaya memenangi di dalam kedua duanya. Selain itu beliau juga merupakan YDP PAS kawasan Pasir Mas.

Pada tahun 1970-an , beliau dilantik sebagai salah seorang guru di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan setiap minggu beliau akan menyampaikan kuliah di Pondok Haji Ali Meranti.

Tuan Guru meninggal dunia pada tahun 1987 ketika berusia usia 67 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Meranti, Pasir Mas.

Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin

*Sumber – Penulisan Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin, Khairulnazrin Nasir, Wan Mohd al-Hafiz Wan Mustapa & Abdul Azib Hussain.

TENGKU YUSUFF – HARAKAHDAILY 17/8/2023

Ulasan