Ustaz Othman Hamzah: Empunya nama PAS


PADA 24 November 2023 ini, genaplah 72 tahun PAS bernama PAS. Ini kerana dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951, nama persatuan ini ditukar menjadi ‘Persatuan Islam Se-Malaya’ atau ringkasnya PAS. Persatuan Ulamak Malaya ini ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, tetapi Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) Persatuan ini hanya disahkan pada 24 November 1951. Ketika membahas rang undang-undang tubuh persatuan ini, Ustaz Othman Hamzah, wakil Persatuan al-Ehya as-Syariff telah mencadangkan supaya nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dengan tujuan ’melenyapkan’ persatuan ulamak yang ditubuhkan untuk diperalatkan oleh Umno.

Dalam persidangan yang dipengerusikan oleh Ustaz Haji Mohd Ghazali Abdullah ini, Ustaz Othman Hamzah mengemukakan salah satu dari tujuh cadangan nama untuk persatuan tersebut, iaitu Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Enam nama lain ialah Persatuan Ulamak Malaya, iaitu cadangan asal yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Tubuh Persatuan Ulamak Malaya, kemudian diikuti oleh cadangan nama-nama berikut iaitu Perikatan Ulamak Umno Se-Malaya, Persatuan Muslimin Tanah Air (PERMATA), Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA), Nahdatul Ulamak Malaya (NA’AM) dan Jabhah Ulamak Malaya (JUM). Setelah enam nama dikemukakan, Pengerusi Persidangan telah meminta perwakilan mengemukakan cadangan-cadangan nama secara rasmi dan tiga nama dikemukakan iaitu Persatuan Ulamak Malaya (cadangan asal), Persatuan Ulamak Umno Se-Malaya dan PAS. Nama PAS kemudiannya dipilih dengan suara majoriti.

Selain menjadi ’empunya nama PAS,’ Ustaz Othman sendiri mempunyai jasa yang sangat besar kepada PAS, khususnya di atas kedudukan beliau sebagai pegawai sepenuh masa PAS selama lebih 30 tahun, sejak 1963. Beliau bersama isterinya, Ustazah Hayati Hassan berkhidmat sebagai Pegawai Pejabat Agung PAS merangkap masing-masing sebagai Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat dalam tempoh tersebut. Ustaz Othman berundur dari jawatan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat pada 1985 kerana keuzuran yang dihadapinya. Di samping itu juga, Ustaz Othman turut terlibat aktif dalam menggerakkan PAS Wilayah Persekutuan ketika peringkat awal pembentukannya sejak 1975. Beliau akhirnya dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Lumpur Bandar untuk sesi 1983-1985, tetapi memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya setelah persempadanan baru yang menjadikan kawasannya dikenali sebagai Bukit Bintang mulai 1985.

Di sebalik peranan besar beliau sebagai Pegawai Pejabat Agung PAS, Ustaz Othman Hamzah boleh dianggap sebagai orang pertama yang menjaga dan memelihara dokumen-dokumen PAS sejak penubuhannya sehingga akhir 1980-an. Beliau boleh dikatakan berperanan sebagai ’Pegawai Arkib PAS’ tanpa pelantikan atau pertanggungjawaban daripada parti. Sebaliknya, di atas kesedaran peribadinya, beliau mengumpul dan menyimpan semua sumber-sumber sejarah PAS sebahagian besarnya di rumahnya sendiri, sekali gus menjadi ’penyelamat’ kepada semua dokumen tersebut. Sebahagian besar sumber-sumber asal rujukan mengenai PAS sekarang adalah peninggalan beliau, iaitu sebelum diambil alih oleh Ustaz Hassan Shukri. Pada 1985, Ustaz Othman telah menulis sebuah artikel kecil bertajuk Sejarah Ringkas Penubuhan PAS yang merakamkan pergerakan PAS di peringkat berdasar sumber primernya.

Ustaz Othman bin Hamzah bin Shafie bin Abdul Raof dilahirkan di Kampung Sungai Kepar, Gunung Semanggol, Perak dalam tahun 1918, iaitu ketika umat Islam sedang menghadapi pergolakan akibat kekalahan Kerajaan Othmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Ibunya bernama Safia binti Said berketurunan Pattani, manakala di sebelah bapanya berketurunan campuran Jawa-Siak. Moyangnya, Abdul Raof adalah pemimpin masyarakat di Pulau Jawa yang berhijrah ke Tanah Melayu kerana bencikan Belanda, begitu juga neneknya yang berasal dari Siak. Di sebelah ibunya merupakan pejuang Melayu yang menentang penjajahan Siam yang berhijrah setelah Pattani jatuh ke tangan penjajah itu. Beliau adalah anak yang lahir daripada pergolakan kerana penjajahan. Di dalam dunia penulisan, Ustaz Othman lebih dikenali dengan nama penanya, ’Abhash Abdul Raoff. ’Abhash adalah ringkasan bagi Othman bin Hamzah Shafie dalam tulisan Jawi.

Ustaz Othman mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Kepar mulai 1926 hingga 1931. Setelah tamat Darjah Lima, beliau merancang untuk memasuki Madrasah al-Mashoor al-Islamiyah, Pulau Pinang kerana tidak mahu memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) atau Sekolah Latihan Pertukangan di Bagan Serai. Untuk melayakkan beliau ke Pulau Pinang, beliau memasuki Sekolah Melayu Kampung Selinsing dan berguru dengan bapa saudaranya, Ustaz Yahya Abdullah untuk mendapatkan kelulusan sekolah rendah agama. Beliau berada di sekolah ini selama setahun setengah antara 1932 hingga 1933. Setelah lulus, tiba-tiba tersebar berita rancangan Ustaz Abu Bakar al-Baqir hendak membuka Maahad al-Ehya as-Syariff bagi menggantikan Pondok ar-Rahmaniyah di Gunung Semanggol. Beliau melupakan rancangannya ke al-Mashoor, sebaliknya beralih ke al-Ehya. Ustaz Othman belajar di maahad ini semenjak 1934 dan lulus sijil Kismul Ali pada 1941.

Sebaik sahaja tamat pada 1941, beliau telah diambil menjadi guru bahasa Arab dan guru agama di Maahad al-Ehya sehingga 1946. Sebelum itu, pada 1931, beliau pernah menjadi guru pembantu di Sekolah Melayu Sungai Kepar selama dua tahun. Ketika zaman Jepun, beliau turut menjadi anggota Sayap Kelima (Penyuluh) tentera Jepun dan dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Jepun di Ipoh. Beliau kemudian berhijrah ke Pattani dan mengajar di Sekolah Agama Pohon Setar, Kuala Bekah, Pattani. Ketika itu berlaku pergolakan politik kerana pembunuhan Tuan Guru Haji Sulung yang memaksa Ustaz Othman kembali ke Gunung Semanggol pada 1947. Beliau kembali mengajar di Maahad al-Ehya sehingga 1949 dan berpindah ke Madrasah Arabiyah, Parit Raja, Johor selama setahun. Pada akhir 1950, beliau dipanggil kembali ke Gunung Semanggol dan mengajar di sana selama tujuh tahun lagi. Pada 1952, beliau dilantik sebagai Guru Pengawas dan Guru Besar bahagian Ehya Puteri sehingga 1957.

Selepas itu beliau mengajar di Madrasah Aziziah, Parit, Perak selama dua tahun, tetapi terpaksa berhenti pada 1959 ekoran tekanan Umno. Kedudukan beliau sebagai pendukung PAS telah menyebabkan beliau menjadi sasaran tindakan pemimpin Umno Perak ketika itu. Beliau kemudian berpindah dan mengajar pula di Madrasah Diiniah Islamiah, Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar selama dua tahun. Pada 1961 beliau berhijrah ke Mentakab, Pahang dan berkhidmat di Madrasah Tarbiyah Islamiyah lil Banat sehingga 1963. Akhirnya, pada 1963, PAS telah memutuskan untuk mengambil Ustaz Othman menjadi Pegawai Penerangan Luar PAS yang bertugas sepenuh masa di Pejabat Agung PAS. Beliau berkhidmat di Pejabat Agung PAS sehingga uzur pada pertengahan 1980-an. Namun begitu, beliau terus memberikan tunjuk ajar dan khidmat nasihat kepada staf-staf baru PAS sehingga akhir hayatnya.

Dengan latar belakang keluarga yang anti penjajah, Ustaz Othman telah terlibat dengan politik semenjak di Maahad al-Ehya. Beliau aktif menulis dalam akhbar Majlis, Cahaya Negeri, Utusan Zaman dan lain-lain, termasuk majalah maahadnya. Penglibatan beliau dan pelajar lain seperti Ahmad Fuad Hassan, Baharuddin Latif, Yahya Nasim dan lain-lain dalam politik telah mendapat perhatian British. Beliau juga terlibat dalam Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) cawangan Gunung Semanggol, menjadi Ahli Jawatankuasa Kesatuan Melayu Selat Cawangan Pulau Pinang pada 1938 dan Timbalan Ketua Kesatuan Melayu Muda (KMM) Cawangan Perak pada 1939. Dalam Persatuan Ehya as-Syariff, beliau pernah menjadi Pegawai Penerangan (1939-1942) serta Setiausaha (1942-1946 dan 1948-1952). Beliau juga telah mengasaskan Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Se-Malaya (KPAS) pada 1949.

Ketika membuat penerangan mengenai KPAS di Jamek Merbau, Kota Bharu, beliau telah ditahan oleh British selama 17 hari. Penahanan ini mempunyai kaitan dengan kegiatan beliau di Gunung Semanggol sebagai Setiausaha Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA), iaitu pertubuhan yang bertanggungjawab menubuhkan Hizbul Muslimin pada 1948. Ustaz Othman juga merupakan ahli Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), selain memimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) Perak dan ahli Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS). Ketika panitia kongres MATA dibentuk bagi mengatur penubuhan Hizbul Muslimin, Ustaz Othman dilantik sebagai wakil Yang Dipertua Panitia, kemudian menganggotai Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Tubuh Hizbul Muslimin yang dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada 6 Jun 1948, Syabab Hizbul Muslimin, sayap Pemuda Parti Islam ini telah ditubuhkan dan Ustaz Othman diangkat sebagai ketuanya.

Pergerakan Hizbul Muslimin walau bagaimanapun berakhir pada 29 Julai 1948 apabila British menahan tokoh-tokoh utama parti ini di bawah Ordinan Darurat 1948. Selepas runtuhnya pergerakan politik Islam di Gunung Semanggol, Ustaz Othman menumpukan perhatian kepada dunia pendidikan. Pada 1951, beliau telah dijemput oleh bekas gurunya, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menyertai Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 23 November 1951. Beliau hadir sebagai wakil Persatuan al-Ehya as-Syarif, Gunung Semanggol. Dalam persidangan inilah beliau mencadangkan nama PAS, tetapi beliau tidak segera menyertai PAS kerana persidangan tersebut menolak cadangan disiplin parti yang mahu memisahkan PAS dari Umno. Setelah PAS berpisah sepenuhnya dari Umno pada 1954, beliau segera menyertai PAS dan bertanding sebagai calon PAS di Krian pada 1959, tetapi tewas.

Ustaz Othman kemudian terus bertugas di Pejabat Agung PAS sebagai Penerangan Luar mulai 1963, kemudian menjadi Pegawai Keahlian PAS. Di samping itu juga, beliau merupakan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat bagi satu tempoh yang lama iaitu semenjak 1963 hingga 1985. Beliau terpaksa bersara dari Pejabat Agung PAS kerana uzur pada awal pertengahan 1980-an. Pada 7 Januari 1988, ketika menunaikan solat Isyak, Ustaz Othman telah jatuh dan meninggal dunia dengan tiba-tiba di rumahnya di Taman Melewar. Beliau meninggalkan isterinya, Ustazah Hayati Hassan, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan. Sepanjang perjuangannya, Ustaz Othman dianggap ensiklopedia hidup yang mengetahui detik-detik penting sejarah PAS dari dalam pejabat PAS sendiri. Kerana itu beliau menjadi rujukan untuk pengkaji dalam mengkaji sejarah gerakan politik Islam di Malaysia.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 23/8/2023

Ulasan