Yayasan Akal Budi, diluah mati mak, ditelan mati bapak




VIDEO cubaan sogokan undi yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Zahid Hamidi telah menghangatkan kembali perbualan rakyat berkenaan isu rasuah dan ketirisan setelah berbulan lamanya topik ini agak sejuk.
Faktor utama topik rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa tidak lagi berlegar dalam kalangan rakyat adalah kerana ‘pejuang’ utama menentang rasuah iaitu Pakatan Harapan tidak lagi menyentuh isu ini.

Semua ini tidak lain tidak bukan kerana rakan kerjasama PH yang paling bernilai sekarang adalah BN yang dipimpin Zahid Hamidi.

Zahid Hamidi ialah ‘key figure‘ utama di sebalik terbentuknya Kerajaan Campuran pada hari ini. Maka adalah tidak cerdik sekiranya topik sensitif seperti isu rasuah dimainkan oleh PH.

Hati dan perasaan Zahid Hamidi sebagai ketua rakan koalisi perlu dijaga sebaik-baiknya.

Pelantikan Zahid Hamidi sebagai orang nombor 2 negara dalam keadaan beliau sedang diarah membela diri di mahkamah adalah satu dilema buat negara dan sistem kehakiman.

Jika kes ini diteruskan sehingga Zahid Hamidi disabitkan kesalahan maka persepsi integriti dan ketelusan yang selama ini diidamkan Perdana Menteri ke-10 (PMX) pasti hancur lebur. Tidak wajar seorang Timbalan Perdana Menteri disabitkan kesalahan dalam keadaan menjawat jawatan.

Manakala andai kata kes digugurkan sebagaimana representasi yang dimohon oleh Zahid atau kes diteruskan dan Zahid didapati tidak bersalah, maka persepsi bahawa mahkamah dikawal oleh parti yang berkuasa tidak boleh dikikis daripada mata rakyat.

Inilah yang menjadi punca sebahagian besar pengamal undang-undang negara seperti Haniff Khatri yang meminta agar hakim negara tidak mempertimbangkan representasi Zahid untuk memohon penangguhan.

Permohonan Zahid tidak boleh digugurkan atas faktor mematuhi konsep kedaulatan undang-undang dan untuk mengelakkan persepsi negatif terhadap penguatkuasa undang-undang.

Pihak kerajaan khususnya PMX perlu mengambil serius ‘concern’ daripada rakyat dan para pelabur yang sangat terganggu dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang dibelenggu kes rasuah.

Jika benar reformasi masih menjadi fokus utama PMX, maka PMX tidak lagi boleh membela Zahid.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 2/8/2023

Ulasan