LONDON: Data satelit menunjukkan ais laut yang mengelilingi Antartika berada jauh di bawah paras musim sejuk yang direkodkan sebelum ini sekali gus mencetus kebimbangan mengenai ancaman besar pemanasan global.
‘PETI AIS BUMI’ ROSAK
Pegawai Badan Peninjau Antartika Britain, Dr. Caroline Holmes menjelaskan bahawa kesan pengecutan ais laut menjadi semakin jelas ketika peralihan ke musim panas.
“Apabila lebih banyak ais laut hilang, ia mendedahkan kawasan gelap lautan untuk menyerap cahaya matahari dan bukannya memantulkannya.
“Ini bermakna tenaga haba ditambah ke dalam air, yang seterusnya mencairkan lebih banyak ais. Para saintis memanggil fenomena ini sebagai kesan ais-albedo.
“Fenomena ini boleh menambahkan lebih banyak haba kepada bumi, mengganggu peranan biasa Antartika sebagai pengawal selia suhu global,” katanya.
Pakar Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan, Walter Meier berkata, hamparan ais Antartika yang besar mengawal suhu bumi kerana permukaan putihnya memantulkan tenaga matahari kembali ke atmosfera dan juga menyejukkan air di bahagian bawah dan kawasan berhampirannya.
Bagaimanapun, jelasnya, keadaan Antartika kini yang semakin tidak stabil boleh membawa akibat yang meluas.
“Ia begitu jauh dari apa-apa yang kita lihat sebelum ini dan ia sangat mengejutkan.
“Tanpa ais yang menyejukkan planet ini, Antartika boleh berubah daripada peti sejuk bumi kepada radiator,” jelasnya.
CABARAN BESAR PENGKAJI
Ais yang terapung di permukaan Lautan Antartika kini berukuran kurang daripada 17 juta kilometer (km) persegi.
Sebanyak 1.5 juta km persegi ais laut kurang daripada purata bulan September dan jauh di bawah rekod terendah musim sejuk sebelumnya.
Menurut Meier yang menyertai penyelidikan di pangkalan saintifik Rothera, kawasan ais yang hilang menyamai kira-kira lima kali ganda saiz Britain.
Para saintis masih cuba mengenal pasti semua faktor yang menyebabkan ais laut rendah tahun ini tetapi usaha mengkaji arah aliran di Antartika dari segi sejarah merupakan aktiviti yang sangat mencabar.
“Dalam setahun apabila beberapa rekod haba dan suhu lautan global pecah, sesetengah saintis menegaskan ais laut yang rendah adalah langkah yang perlu diberi perhatian.
“Tetapi kami dapat melihat betapa usaha ini menjadi semakin sukar. Cuaca sejuk melampau, angin kuat dan ais laut yang nipis tahun ini menyukarkan lagi kerja pasukan kami.
“Terdapat risiko ia pecah dan hanyut ke laut dan membawa kami bersama di atasnya,” kata Pakar Universiti Manitoba, Dr. Robbie Mallet yang berpusat di semenanjung Antartika.
Menurut Mallet, ais laut bertindak sebagai ‘lengan pelindung untuk ais yang menutupi daratan dan menghalang lautan daripada menjadi panas.
Menurut Saintis Universiti Leeds, Profesor Anna Hogg, terdapat tanda-tanda bahawa apa yang sudah berlaku kepada kepingan ais Antartika kini adalah dalam julat senario terburuk seperti yang diramalkan sebelum ini.
Sejak 1990-an, kehilangan ais darat dari Antartika menyumbang 7.2 milimeter kepada kenaikan paras laut.
Jelas beliau, peningkatan paras laut walaupun pada kadar sederhana sudah cukup untuk mengakibatkan lonjakan ribut yang berbahaya dan menghapuskan komuniti pantai.
“Jika sejumlah besar ais darat mula mencair, impaknya akan menjadi malapetaka bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia,” katanya.-AGENSI
sumber : https://www.utusan.com.my/luar-negara/2023/09/antartika-semakin-nazak/
Ulasan
Catat Ulasan