Banjir Libya: Rakyat salahkan kerajaan tidak cakna pembangunan infrastruktur




DERNA: Proses mencari dan mengeluarkan mayat yang terperangkap di bawah lumpur tebal dan runtuhan infrastruktur masih diteruskan ketika angka korban terus meningkat.

Menurut Bulan Sabit Merah Libya, lebih 11,300 orang disahkan terkorban akibat banjir besar yang dicetuskan oleh Ribut Daniel di timur negara ini pada Ahad dan Isnin lalu.

Datuk Bandar Derna menyatakan jumlah korban akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas sejumlah kawasan kejiranan dihanyutkan ke laut.

Di sebalik semua yang berlaku, beberapa ahli politik negara ini mempersoalkan sama ada banjir yang berlaku disebabkan oleh bencana alam ataupun kesilapan manusia.

Masalah rasuah, ketidakcekapan dalam menguruskan dan menjaga infrstsruktur awam, sektor politik yang tidak seimbang secara tidak langsung menjadikan Libya tidak bersedia untuk berdepan dengan bencana alam.

“Disebabkan Libya kini bergolak, maka pengagihan dana untuk keperluan rakyat dan pembangunan juga entah ke mana.

“Sejak tiga tahun lalu, tiada peruntukan pembangunan, selain tiada peruntukan untuk projek jangka panjang.

“Libya terbahagi kepada dua kerajaan dan tiada satu pun di antara mereka mempunyai kuasa untuk membuat perancangan besar dan perkara itu secara tidak langsung membelakangkan pembangunan infrastruktur,” kata penganalisis kanan di Kumpulan Krisis Antarabangsa untuk Libya, Claudia Gazzini.

Ketenteraan menyokong kerajaan ‘musuh’ Libya, manakala komuniti antarabangsa pula mengiktiraf kerajaan negara ini yang berpangkalan di Tripoli.

Sejak 2021, kerajaan Libya gagal mengadakan pilihan raya presiden sehingga kini.

Kekurangan dana untuk membaikpulih menyebabkan dua empangan di Derna pecah semasa Ribut Daniel melanda.

KERAJAAN TIDAK CAKNA

Bercakap kepada Al Jazeera, Datuk Bandar Derna, Ahmed Madroud berkata, kedua-dua empangan itu tidak diselenggara sejak 2002.

Ini bermakna, kedua-dua kerajaan Libya iaitu yang dipimpin Muammar Gaddafi dan kerajaan revolusi gagal menjaga dan membaikpulih semua infrastruktur penting negara.

Pada tahun lalu, satu laporan dari pasukan penyelidik di Universiti Omar al-Mukhtar memberi amaran mengenai dua empangan itu yang amat memerlukan perhatian dan jika tidak, berisiko pecah, sekali gus menyebabkan banjir besar.

Namun, sehingga hari kejadian, dua kerajaan Libya masih tidak cakna.

KEGANASAN SILIH BERGANTI

Kesan kemusnahan yang diakibatkan oleh banjir besar itu merupakan tragedi terburuk menimpa Derna, iaitu sebuah bandar yang mempunyai 90,000 penduduk sebelum kumpulan daesh merampas pentadbiran pada 2014.

Tiga tahun kemudian, Derna ditadbir pegawai tentera yang berpaling tadah sehingga mencetuskan banyak serangan dan pengeboman.

Disebabkan konflik yang berlaku di bandar itu, pihak berkuasa tidak mahu melabur sebarang projek pembangunan baharu.

“Satu-satunya hospital yang masih berfungsi di Derna hari ini sebenarnya merupakan sebuah villa yang mempunyai lima bilik tidur.

“Kenyataan ini tidaklah mengejutkan dan vila itu sudah menjadi hospital selama 42 tahun dan setiap pemimpin yang datang ke Derna, mereka tabur janji untuk lakukan pembaharuan, namun semuanya cakap kosong,” ujar Presiden Majlis Kebangsaan Hubungan AS dan Libya, Hani Shennib.

KONFLIK MANUSIA VS BENCANA ALAM

Pihak berkuasa di Derna didesak supaya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

Seorang penganalisis, Anas al-Gomati berkata, pihak berkuasa Derna sepatutnya lebih peka dengan kesan Ribut Daniel dan juga keadaan infrastruktur sekitar.

“Pengabaian oleh kerajaan Libya terhadap infrastruktur kritikal dan kegagalan menyelenggara kesemuanya merupakan faktor utama dua empangan tersebut pecah dan Derna ditenggelami air.

“Rasuah dan salah urus kewangan juga menjadi punca di sebalik keusangan infrastruktur di negara ini selama beberapa dekad,” jelasnya.


https://www.utusan.com.my/luar-negara/2023/09/banjir-libya-rakyat-salahkan-kerajaan-tidak-cakna-pembangunan-infrastruktur/

Ulasan