Berhematlah dalam menyertai kumpulan Islam




SEMALAM saya membentangkan kertas kerja kepada para pimpinan PAS Negeri Kelantan berkenaan ‘Beristiqamah Memenuhi Syarat Parti Islam, Menuju Dan Mengisi Kemenangan’ di Liqa’ Fikri PAS Negeri Kelantan.

Dalam ucapan, saya menegaskan bahawa al-Quran menyatakan pasti tetap ada kumpulan, jemaah, atau parti yang meneruskan perjuangan Islam, yang menjadi fardu kifayah secara umum serta menjadi fardu ‘ain kepada kalangan yang berkemampuan bersamanya dan dalam keadaan darurat. Telah dinyatakan pula sifat-sifat dan ciri-cirinya.

Allah memberikan amaran yang keras, sekiranya umat tidak meneruskan perjuangan Islam, nescaya mereka akan ditimpa bencana yang boleh ditukar peranannya menjaga Islam oleh mana-mana kaum lain yang menganut Islam atau menenggelamkannya.

Carilah dan berhematlah dalam menyertai kumpulan Islam yang benar-benar menyambung perjuangan dengan sempurna mengikut petunjuk Allah secara bertafaqquh (memahami secara mendalam), bukan mencuba-cuba sahaja, khususnya dalam keadaan kumpulan yang berjenama Islam dan bukan Islam terlalu banyak diciptakan hari ini.

Amar ma‘ruf dan nahi munkar menjadi tonggak kepada kedaulatan negara. Kedua- duanya merupakan aspek yang tidak boleh berpisah. Maka, kumpulan yang memisahkannya atau tidak menyempurnakannya adalah tidak memenuhi sifat kumpulan Islam dan tidak memenuhi sifat sebuah negara Islam. – HARAKAHDAILY 17/9/2023

[Liqa’ Fikri PAS Negeri Kelantan, 16 September 2023]


Ulasan