Cahaya biru misteri itu muncul lagi..sejurus kejadian gempa bumi dahsyat, dan kali ini di Maghribi pada lewat malam Jumaat, 8 Sept 2023 yang telah meragut lebih 2,000 nyawa.
Tragedi gempa bumi berukuran 6.8 magnitud pada skala Ritcher itu adalah paling kuat pernah direkod melanda pusat negara yang terletak di Afrika Utara dalam tempoh lebih satu abad, dengan pusat gempanya tidak jauh dari pusat pelancongan dan ekonomi terkenal, Marrakesh.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 2,122 orang telah terbunuh dalam bencana itu dan 2,421 telah cedera, lapor media penyiaran kerajaan Maghribi, 2M pada lewat Ahad (10 Sept), waktu tempatan.
Apa yang menakutkan dan menimbulkan tanda tanya ialah fakta bahawa visual pancaran cahaya biru misteri itu berkelip beberapa saat sebelum gempa bumi itu menggegar dan menggoncang Maghribi
Fenomena yang membingungkan ini belum ada penjelasan yang muktamad, sama ada ia merupakan pelopor semula jadi kepada setiap kali akan berlaku gempa bumi yang dahsyat di muka bumi yang dihuni lebih 8 bilion manusia ini.
Cahaya biru yang penuh teka-teki itu ternyata bukanlah kejadian yang baharu. Ia telah didokumenkan oleh kamera pengawasan sejurus gempa bumi dahsyat di Turkiye pada 6 Feb 2023 yang telah mengorbankan lebih 45,000 nyawa.
Pada 8 Sept 2012 pula, cahaya biru dan merah pula muncul di langit Mexico sejurus gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan pusat peranginan popular, Acapulco, yang dilaporkan mengorbankan hanya satu nyawa.
Makhluk asing, HAARP
Walaupun laporan awal menyatakan bahawa manifestasi bercahaya ini, yang dikenali dengan istilah ‘cahaya gempa bumi’ (EQL) dikaitkan dengan fenomena atmosfera yang muncul berdekatan dengan kawasan regangan melampau plat tektonik (lapisan keras kerak bumi yang disokong oleh bahan leburan yang dikenali sebagai magma di bawahnya), aktiviti seismik atau letusan gunung berapi, satu konsensus mengenai punca asas fenomena ini masih sukar difahami.
Namun sudah tentu, pelbagai tafsiran alternatif segera muncul dalam percubaan mengungkap misteri di sebalik fenomena EQL.
Anehnya, telah dilaporkan bahawa EQL telah dapat dikesan oleh manusia selama beribu-ribu tahun lalu, dengan asal-usulnya dikesan sejak tahun 89 Sebelum Masihi (SM).
Sementara, menurut Encyclopedia of Solid Earth Geophysicsl, laporan terawal yang diketahui tentang lampu gempa bermula pada 373 SM, apabila bandar Helice dan Buris di Greece telah musnah akibat gempa bumi yang disertai dengan ‘lajur api yang besar’.Pasukan penyelamat berusaha keras menyelamatkan mangsa yang masih tertimbus dalam bangunan yang runtuh pada 10 Sept 2023. (FOTO: Reuters)
Projek pengurangan populasi manusia
Walau bagaimanapun, sepanjang sejarah kewujudan dunia, saintis telah dibiarkan dalam kegelapan tentang sifat sebenar EQL, malah penampakan cakerawala ini sering dimomok sebagai ada kaitan dengan makhluk asing atau fiksyen sains; dan terbaharu ada beberapa pihak mendakwa kilatan cahaya biru, khususnya sejurus berlaku gempa bumi dahsyat di Turkiye, Feb lalu itu sebagai bukti bahawa ia dijana secara buatan oleh Program Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (HAARP).
Dilengkapi dengan teknologi canggih 180 antena radio, HAARP yang berpangkalan di Alaska sebagai stesen penyelidikan yang dibiayai Amerika Syarikat (AS) yang didakwa pihak tentu adalah bermatlamat sebagai ‘projek’ mengawal populasi penduduk dunia melalui cuaca, atau lebih tepat misi mengurangkan populasi dunia dengan bantuan ciptaan bencana alam yang dahsyat termasuk gempa bumi, puting beliung dan hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar.
Pada asasnya, EQL ialah fenomena atmosfera yang bercahaya yang entah bagaimana dikaitkan dengan aktiviti seismik atau kejadian cakerawala, seperti yang dicadangkan oleh penyelidikan yang dilaporkan oleh Htschool.Pusat gempa bumi 6.8 magnitud pada 8 Sept 2023 di Maghribi yang berpusat di kawasan berhampiran pusat tumpuan popular palancongan di Marrakesh. (FOTO: The National)
‘Cahaya gempa bumi’
Perlu diingat bahawa ‘cahaya gempa bumi’ ini tidak nyata pada setiap masa sejurus gempa bumi berlaku tetapi terutamanya diperhatikan di sekitar masa dan pusat gempa yang akan datang.
Menurut analisis mendalam terhadap 65 kejadian ‘cahaya gempa bumi’ yang dijalankan oleh ahli astrofizik di Universiti San Jose State dan penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Ames NASA, Friedemann Freund, EQL dijana apabila cas elektrik diaktifkan dalam jenis batu tertentu, seperti basalt dan gabbro, yang terletak di bawah permukaan bumi.
Menurut beliau, kilatan cahaya yang jarang berlaku, tetapi kadangkala dilihat di sekitar lokasi gempa bumi bukan disebabkan oleh burung, atau pesawat, atau pbjek terbang tidak dikenali (UFO) – yang semuanya telah sebelum ini dikaitkan sebagai punca untuk menerangkan fenomena EQL itu.
Sebaliknya, ujar Freund, EQL disebabkan oleh sifat elektrik batuan tertentu di lapisan bumi dalam tetapan tertentu.Penduduk meratapi kematian mangsa gempa bumi di Moulay Brahim dalam wilayah Al Haouz, Maghribi. (FOTO: Getty’s Images)
“Kadang-kadang dipanggil sebagai ‘kilat gempa bumi’, EQL boleh muncul dalam pelbagai ‘bentuk dan warna’ yang berbeza,” jelasnya.
‘Kilat bola‘
Freund berkata bentuk biasa, EQL termasuklah secara visualnya boleh dilihat sebagai nyalaan kebiruan yang kelihatan keluar dari tanah pada ketinggian buku lali; atau sebagai ‘bebola cahaya’ dipanggil sebagai ‘kilat bola’ yang terapung di udara selama berpuluh-puluh saat atau bahkan minit.
“Selain itu, ia juga boleh dilihat sebagai ‘kilatan cahaya terang pantas’ yang menyerupai kilat biasa, kecuali jika ia keluar dari tanah dan bukannya langit dan boleh menjangkau sehingga 650 kaki (200 meter).
“Selama berabad-abad, terdapat banyak laporan mengenai EQL sebelum dan semasa bumi bergegar,” jelas beliau.
Tambah Freund, beberapa saat sebelum gempa bumi L’Aquila, di Itali pada 2009, orang ramai melihat api cahaya empat inci (sepuluh sentimeter) berkelip-kelip di atas jalan batu.Cahaya misteri berwarna-warni seumpama pelangi ini muncul sejurus sebelum gempa bumi melanda Sichuan, China pada tahun 2008. (FOTO: YouTube/Daily Mail)
Penemuan UFO
Pada 12 November 1988, orang ramai melaporkan glob cahaya ungu-merah jambu terang di sepanjang Sungai St. Lawrence di Quebec, 11 hari sebelum gempa bumi kuat melanda di kawasan itu.
Orang ramai juga melaporkan melihat pelangi cahaya samar sebelum gempa bumi besar 1906 di San Francisco, AS dan sebelum gempa bumi New Madrid 1811-12 yang dahsyat di Missouri, juga di AS.
Freund dan pasukan saintisnya telah mengkaji rekod sejarah EQL yang dilaporkan sejak tahun 1600 dan menerbitkan penemuan mereka dalam Surat Penyelidikan Seismologi.
“Pada masa lalu, orang sering menafsirkan (EQL) dalam istilah agama, dan pada zaman moden pula mereka mengaitkannya dengan UFO, walaupun terdapat penjelasan fizikal yang rasional sepenuhnya yang kami sedang usahakan,” ujarnya. Kerosakan teruk dialami di Marrakesh, Maghribi pada 9 Sept 2023 akibat gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu. (FOTO: Getty’s Images)
Seorang pemeriksa pertanian kerajaan Kanada yang bersara, Jim Conacher menyangka dia sedang melihat UFO apabila dia menyaksikan tujuh bola kuning bercahaya terapung di atas gunung di Tasik Tagish di wilayah Yukon, Kanada pada awal 1970-an.
Conacher mengambil gambar apa yang sebenarnya menurut Freund adalah fenomena EQL, sebelum ia tular secara meluas sebagai bukti kononnya itu adalah penemuan UFO.
Freund dan rakan sekerja menyedari bahawa masa gambar Conacher seolah-olah meletakkannya hanya beberapa jam sebelum gempa bumi Cross Sound berdekatan lokasi penemuan EQL itu pada 1 Julai 1973, yang berukuran 6.7 magnitud pada skala Richter.
Penampakan EQL
Selama bertahun-tahun, penampakan EQL bagaimanapun telah ditolak oleh komuniti geologi secara serius.
Namun pada pertengahan 1960-an, ketika siri gempa bumi di Nagano, Jepun, saintis membuat foto EQL yang jelas terikat dengan aktiviti geologi. Siri kejadian fenomena dikenali sebagai ‘lampu gempa bumi’ ini jarang berlaku tetapi kian semakin bertambah di seluruh pelusuk global. (FOTO: YouTube/Nova PBS Official)
“Sejak itu, semakin banyak fenomena telah dirakam dalam filem dan video,” kata Freund, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan teknologi kamera pengawasan.
“Sebagai contoh, kamera pengawasan berjaya menangkap imej jelas EQL di Pisco, Peru, pada Ogos 2007, ketika gempa bumi 8 berukuran magnitud di sana.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai teori telah dicadangkan tentang bagaimana EQL terbentuk, termasuk gangguan medan magnet bumi oleh tekanan tektonik dan apa yang dipanggil kesan piezoelektrik, yang mana batu-batu galas kuarza menghasilkan voltan apabila dimampatkan dengan cara tertentu.
Namun, Freund dan pasukan saintisnya melaporkan bahawa apa yang menyebabkan EQL nampaknya adalah proses elektrik yang sama sekali berbeza daripada teori santifik sebelum ini.Pekerja kecemasan mengusung mayat mangsa di Amizmiz, Maghribi pada Ahad, 10 September 2023, selepas gempa bumi maut yang melanda pada 8 Sept. (FOTO:REUTERS).
“Apabila alam semula jadi meneka batuan tertentu di lapisan bumi, cas elektrik diaktifkan, seolah-olah anda menghidupkan bateri di kerak bumi,” ungkapnya.
Gelombang seismik
Menurutnya lagi, jenis-jenis batuan yang terutama dikaitkan dengan fenomena EQL ialah basalt dan gabbros, yang mempunyai kecacatan kecil pada kristalnya.
“Apabila gelombang seismik melanda, cas elektrik di dalam batuan itu mungkin dilepaskan. Di sesetengah kawasan, basalt dan gabbros terdapat dalam struktur menegak yang dipanggil daik, yang terbentuk apabila magma disejukkan di sepanjang sesar menegak dan boleh mencapai sedalam 60 batu (97 kilometer) di bawah tanah.
“Daik ini mungkin menyalurkan cas elektrik bersama-samanya. Caj boleh bergabung dan membentuk sejenis keadaan seperti plasma, yang boleh bergerak pada halaju yang sangat tinggi dan meletup di permukaan untuk membuat nyahcas elektrik di udara,” jelas Freund yang menambah bahawa plepasan itulah yang menjadikan cahaya berwarna-warni itu muncul di langit di lokasi sejurus gempa bumi berlaku.Friedemann Freund memberitahu secara visualnya, fenomena ‘cahaya gempa bumi’ boleh dilihat sebagai nyalaan kebiruan yang kelihatan keluar dari tanah pada ketinggian buku lali. (FOTO:
Beliau menganggarkan, keadaan yang sesuai untuk EQL muncul adalah dalam kurang daripada 0.5 peratus gempa bumi di seluruh dunia, yang menjelaskan mengapa fenomena itu agak jarang berlaku.
“EQL nampaknya paling biasa di Itali, Greece, Perancis, Jerman, China, dan bahagian Amerika Selatan, walaupun ia telah diperhatikan di Jepun, Amerika Utara dan di negara-negara lain (termasuk di Mexico, Turkiye dan terbaharu di Maghrabi).
“EQL boleh berlaku beberapa minggu sebelum gempa bumi besar atau semasa gegaran sebenar, antara yang pernah direkodkan ialah pada jarak sehingga 100 batu (160 kilometer) dari pusat gempa,” ujarnya.
Ramalan gempa bumi
Sehubungan itu, Freund sedang bekerjasama dengan saintis lain mengenai sistem ramalan gempa global dan berkata saintis telah mula memasukkan EQL sebagai penunjuk bahawa gegaran mungkin akan datang (beliau mengelakkan istilah ‘ramalan’ kerana ‘ia membayangkan terlalu banyak ketepatan’).Penduduk berjalan melepasi rumah yang musnah selepas gempa bumi di perkampungan pergunungan Tafeghaghte, barat daya bandar Marrakesh pada 9 Sept 2023. (FOTO: AFP)
“Jika kita melihat dua, tiga, atau empat fenomena bercirilan EQL, maka ia kelihatan seperti gempa bumi.
“Walaupun EQL cenderung untuk jarang berlaku, namun jika diamati, kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Bagaimanapun, saintis lain pula mengatakan bahawa fenomena EQL sangat terhadap untuk dijadikan sebagai penunjuk atau untuk ramalan terhadap sesuatu gempa bumi.
Pakar geofizik di Pusat Maklumat Gempa Kebangsaan Amerika Syarikat (USGS), Bruce Presgrave berkata, EQL tidak mungkin sangat membantu dengan ramalan gempa bumi kerana ia nampaknya tidak dilaporkan begitu kerap berlaku.
Gempa bumi L’Aquila
Namun, hakikat bahawa EQL telah pun digunakan untuk membantu meramalkan gempa bumi tetap nyata.
Sebagai contohnya, sejurus sebelum gempa bumi L’Aquila di Itali pada 2009 itu, seorang lelaki terlihat pancaran cahaya terang dari dapur rumahnya
‘Cahaya gampa bumi’ kebiruan yang muncul di langit Turkiye sejurus negara itu dilanda gempa dahsyat pada 6 Feb 2023 yang kemudiannya mengorbankan 45,000 penduduk. (FOTO: YouTube)
Lelaki itu dilaporkan pernah membaca laporan tentang EQL sebelum ini, dan dia lalu bertindak memindahkan ahli keluarganya ke tempat yang lebih selamat.
Di China pada tahun 1976 pula, seorang pakar geologi berjaya mencari perlindungan selepas melihat fenomena EQL, yang diikuti oleh gempa bumi Tangshan.
Namun, Freund berkata EQL adalah sebahagian kecil daripada penyelidikan saintifiknya yang lebih meluas yang melibatkan kajian tentang kekonduksian elektrik batuan bumi.
“Saya tidak berminat dengan gempa bumi pada mulanya, tetapi kemudian saya menyedari bahawa fenomena elektrik sedang diaktifkan oleh tekanan di dalam batu-batuan dalam lapisan bumi.
“EQL adalah ‘puncak gunung ais’, ungkapan paling ekstrem bagi fenomena ini, tetapi di bawahnya terdapat banyak aspek lain, dan kami sedang mempertimbangkan untuk mengukurnya dalam konteks peramalan sebagai petunjuk masa depan,” ungkapnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023
Ulasan
Catat Ulasan