‘Jangan biar orang lain ambil alih kuasa negara kita’




MUAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan orang Melayu untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai bagi mengembalikan kuasa memimpin negara.

Katanya ini kerana hukum mengundi itu wajib untuk mendapatkan kuasa politik supaya Islam dapat memimpin negara.

“Kalau tak keluar mengundi, orang ambil alih kuasa negara kita. Bila dia ambil kuasa, dia boleh buat macam-macam.

“Kena ingat jangan pandang mudah perkara ini kerana pilihan raya sangat penting,” katanya dalam Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, di sini malam ini.

Turut berucap ialah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan calon PN PRK Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

Menurut beliau jika Islam memimpin sudah tentu ada hitungan dosa dan pahala serta aspek kerohanian.

Katanya, hilangnya kuasa Islam apabila orang Islam itu sendiri meninggalkan ajaran Islam dan dibahagi-bahagikan kuasa kepada penjajah.

“Asia Tenggara dibahagi kepada British, Thailand kepada Buddha, Filipina kepada Sepanyol manakala tanah air orang Islam dipecah dan dijajah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL.

Bagaimanapun kata beliau, ajaran Islam tetap dijaga oleh Allah kerana al-Quran tidak boleh dimatikan.

Menurut beliau, Allah menjamin al-Quran tidak boleh dihapuskan dan akan ada kumpulan untuk menghidupkan al-Quran.

Sehubungan itu kata beliau, PAS mendukung perpaduan Melayu dan mengiktiraf tanah air ini dengan menerima kedatangan kaum lain yang dibawa oleh British untuk menjadi buruh.

“Kita mengambil pendekatan mengajak orang Melayu Islam dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Islam memimpin dan memerintah dengan adil untuk semua kaum, ini yang kita hendak tunjukkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/2023

Ulasan