Keadilan mesti dilaksanakan, bukan sekadar nama parti


MUAR: Keadilan bukan hanya sekadar menjadi nama parti, namun ia mesti dilaksanakan, kata Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Tegas beliau, tidak ada gunanya sesuatu parti itu menggunakan nama ‘keadilan’ tetapi gagal untuk melaksanakan prinsip keadilan dalam pentadbirannya.

“Prinsip ini malangnya tidak berlaku dalam kerajaan yang ada, yang menuntut supaya kita melakukan pengislahan politik. Kerajaan yang tidak menghormati demokrasi. Kerajaan yang tidak menghormati pilihan rakyat.

“Dalam sistem demokrasi apabila rakyat telah memilih pemimpinnya secara yang teratur dalam sistem pilihan raya, maka hendaklah pemimpin itu diiktiraf, dihormati dan diberi haknya secara adil dan sama rata,” ujarnya.

Ini menurut beliau, agar pemimpin itu dapat bertugas membantu semua rakyat yang berada di dalam kawasannya sama ada mereka memilihnya atau tidak semasa pilihan raya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam ceramah kelompok PERIKATAN NASIONAL yang diadakan di UDM Haji Abdullah, Simpang Jeram, di sini, malam tadi.

Turut berucap ialah calon PERIKATAN NASIONAL bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya dan aktivis PN, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali dengan Che’gu Bard.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin mendedahkan bahawa sehingga ke hari ini beliau masih belum mendapat peruntukan sebagai wakil rakyat bagi membantu masyarakat di kawasannya yang rata-rata terdiri daripada golongan marhaen.

“Pemimpin yang adil, yang bercakap Islam, yang betul-betul jujur di dalam membawa Islam itu dan menterjemahkannya dalam kepimpinan, sepatutnya yang paling cepat untuk meluluskan peruntukan itu.

“Ini bagi memastikan ahli-ahli parlimen ini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dan menyantuni rakyat dengan sebaik-baiknya,” ujar beliau.

Tambahnya, tindakan Kerajaan Pusat ini sangat berbeza dengan negeri-negeri yang diperintah oleh PERIKATAN NASIONAL iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang memberi peruntukan secara sama rata kepada semua wakil rakyat kerajaan atau pembangkang.

“Kita tidak teragak-agak untuk memberi peruntukan kepada ADUN-ADUN daripada pembangkang supaya mereka dapat memainkan tanggungjawab dan peranan mereka dengan baik.

“Jadi di mana ‘keadilan’? Nak letak nama parti Keadilankah, parti apakah, semua orang boleh letak. Tetapi di mana terjemahan dari sudut ‘keadilan’ itu?” soalnya.

Tambah Tuan Guru Zulkifli, ini menyebabkan rakyat semakin resah dengan pemimpin yang bercakap tidak serupa bikin dan menggunakan jawatan dan kedudukan untuk kepentingan mereka.

“Rakyat di Jasin susah. (Pemimpin negara) naik kapal terbang yang jumlahnya (kos) ratusan ribu (ringgit) dari satu tempat ke satu tempat. Naik kereta sudahlah! Duit itu bagi pada rakyat!

“Naik helikopter. Kalau rakyat kaya raya, naiklah. Sampai ke bulan pun tak apa. Ini rakyat dalam keadaan yang susah, tiba-tiba mereka membazirkan wang negara. Membazirkan duit rakyat,” tegasnya.

Jelasnya, rakyat melihat apa yang berlaku menyebabkan mereka menolak parti kerajaan dalam pilihan raya yang lepas kerana rakyat sudah tidak dapat menahan perasaan melihat sifat hipokrit yang ada pada pemimpin-pemimpin kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/9/2023

Ulasan