Peguam hairan kes di peringkat ‘prima facie’ dihenti




KOTA BHARU: Pelbagai pihak terkejut ekoran tindakan Jabatan Peguam Negara memberhentikan semua prosiding terhadap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid di Mahkamah Tinggi hari ini.

Seorang peguam mempersoalkan adakah kerajaan sekarang berpegang dengan prinsip ‘ini kerajaan kami, ikut suka kami nak buat apa?’.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Kelantan Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, sedangkan kes terbabit sudah masuk ke peringkat pembelaan.

Katanya sudah tentu banyak penjelasan yang diperlukan oleh rakyat.

“Rakyat tertanya-tanya kenapa institusi pendakwaan negara boleh membuat keputusan menarik balik kes bila mana mahkamah sudah pun mendapati terdapat prima facie di akhir kes pendakwaan,” katanya di sini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dilapor media melepas tanpa membebaskan Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara memberhentikan semua prosiding kes terbabit.

Nik Bahrum yang juga Adun Chempaka berkata, beliau tidak mempertikai kedudukan istimewa pendakwaan dalam menarik balik pendakwaan di mahkamah kerana itu hak mutlak pihak pendakwaan tetapi perlu penjelasan lanjut untuk melihat justifikasi langkah tersebut. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

Ulasan