Penggiat industri beras perlu berintegriti urus rantaian bekalan





BERAS adalah makanan ruji rakyat Malaysia, maka keperluan terhadap beras di negara ini tidak pernah putus, bahkan sentiasa bertambah menjadikannya komoditi paling stabil dari sudut permintaan di pasaran pengguna.

Ketika ini, bekalan beras putih di pasaran tempatan terdiri daripada beras putih tempatan dan import. Beras putih tempatan adalah bahan kawalan pada harga sekitar RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg), manakala harga beras putih import tidak dikenakan kawalan dan ditentukan secara bebas oleh peruncit berdasarkan kuasa pasaran.

Namun, mutakhir ini negara berdepan kekurangan beras putih tempatan dalam pasaran domestik sehingga menjadi isu nasional meresahkan rakyat. Secara tiba-tiba, makanan ruji rakyat Malaysia ini sukar diperoleh pengguna di pasaran.

Keterjaminan bekalan beras putih tempatan pada harga kawalan adalah penting bagi memastikan rakyat mempunyai alternatif mendapatkan makanan ruji pada harga munasabah. Kewujudan bekalan beras putih tempatan dikawal harganya amat penting kepada pengguna.

Melalui kawalan harga, pengguna tidak mendapat kesan langsung daripada peningkatan harga beras putih import. Keputusan kerajaan mengekalkan beras putih tempatan sebagai barang kawalan adalah tepat di sebalik desakan segelintir penggiat industri mendesak harga beras putih tempatan dikawal dan ditentukan pasaran.

Terdapat pelbagai pendapat dibangkitkan untuk menjelaskan isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran. Penggiat industri dan agensi kerajaan berkaitan memberikan pelbagai faktor di sebalik isu kekurangan beras putih tempatan, terutama kemerosotan pengeluaran padi.

Kekurangan beras putih tempatan

Pada masa sama terdapat isu dibangkitkan menjadi punca kekurangan beras putih tempatan, iaitu kegiatan menukar kampit beras putih tempatan kepada kampit beras putih import pada peringkat pengilang atau pemborong seperti dikesan agensi kerajaan baru-baru ini.

Kegiatan ini dipercayai untuk mendapatkan keuntungan lebih serta didorong kekurangan nilai integriti pengilang dan pemborong beras putih tempatan. Ia juga isu berkait rapat dengan integriti penggiat industri di setiap rantaian bekalan beras negara, membabitkan pesawah dan industri seperti pengilang, pemborong dan peruncit.

Integriti bekalan beras negara merujuk jaminan beras putih dibungkus dalam kampit beras putih adalah beras putih yang betul. Dalam erti kata lain, tiada aktiviti membungkus beras putih tempatan dalam kampit beras putih import untuk dijual pada harga melebihi RM26 setiap 10 kg.

Ketiadaan integriti dalam pengurusan bekalan beras negara memberikan beberapa implikasi buruk. Pertama, ia membabitkan perbuatan menipu dan menyeleweng terpaksa dihadapi pengguna. Pengguna secara langsung akan membayar kos pada kadar harga beras putih import tetapi memperoleh beras putih tempatan.

Kedua, merujuk kepada terjejasnya keterjaminan bekalan beras putih tempatan kepada pengguna. Natijahnya, pengguna terpaksa membeli beras putih import seterusnya menjejaskan tahap sosioekonomi mereka.

Justeru, pihak melakukan penipuan dan penyelewengan ini perlu diburu, dikesan dan dikenakan tindakan undang-undang seperti Peraturan Kawalan Gred Dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Kerajaan wajar mengambil tindakan tegas bagi mewujudkan kesedaran integriti dalam kalangan penggiat industri padi dan beras terutama pengilang dan pemborong. Mereka juga perlu diberikan kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan integriti dalam rantaian bekalan beras putih negara terpelihara.

Pengilang dan pemborong beras putih perlu menyedari kepentingan mereka sebagai pihak bertanggungjawab memastikan aktiviti rantaian bekalan beras putih tempatan sentiasa pada tahap integriti tinggi.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu memainkan peranan ini dengan aktif bagi memastikan integriti rantaian bekalan beras putih negara terkawal dalam kalangan pengilang dan pemborong beras putih tempatan.

Yusrizal Sufardi adalah Pensyarah Utama, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin manakala Mohd Helmi sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) UKMGraduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia

Ulasan