KOTA BHARU: Biarpun PH-BN menganggap kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram sebagai luar biasa, namun hakikatnya mereka kehilangan undi Melayu.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, PH-BN hilang undi Melayu sebanyak 27,000 undi pada PRK tersebut.
Katanya, analisis awal mendapati PN menang di semua peti undi Melayu, namun tewas di peti undi kaum lain yang berjumlah 40 peratus di Pulai dan 43 peratus di Simpang Jeram.
“Alhamdulillah, di Parlimen Pulai kita mendapat pertambahan undi sebanyak 8,965 undi dan DUN Simpang Jeram pertambahan undi sebanyak 3,980 undi,” katanya di sini.
PH melalui Parti Amanah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK yang diadakan Sabtu lepas.
Kehilangan jumlah undi Melayu juga diakui Ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil di mana katanya BN hilang 27,000 undi pada PRK tersebut.
Menurutnya juga 18,000 pengundi BN tidak keluar mengundi dan 9,000 memilih PN pada PRK terbabit.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, PN berjaya menambahkan undi walaupun belum berjaya memenangi kerusi terbabit.
“Perkembangan yang berlaku pada PRK secara jelas menggambarkan Umno ditolak rakyat, lebih-lebih lagi orang Melayu.
“Kemenangan PH sebenarnya boleh disifatkan sebagai tercalar dan mereka bimbang masa hadapan parti mereka akan terus ditolak rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023
Ulasan
Catat Ulasan