RAMAI sekali tokoh pejuang kemerdekaan dari Tanah Melayu dan Indonesia yang telah mencatatkan perjuangan menuntut kemerdekaan pada zaman Jepun. Ia lebih awal daripada kelahiran Umno, parti kebangsaan yang menghegemonikan perjuangan kemerdekaan sebagai milik mereka. Lihat sahaja bagaimana catatan Hamka dalam ‘Kenang-kenangan Hidup’ tentang perjuangan bangsa Melayu yang menuntut kemerdekaan daripada Jepun. Usah dikira catatan para Pahlawan Nasional Indonesia seperti Sukarno, Bung Hatta, Pak Nasir, Haji Agus Salim dan lain-lain, kerana Hamka yang belum menjadi tokoh nasional saat Perang Jepun itu pun terlibat sama.

Di Malaya, kisah-kisah perjuangan kemerdekaan pada zaman Jepun dicatatkan oleh Mustapha Hussein lewat puterinya, Insun Sony. Bukunya, ‘Memoir Mustapha Hussein: Kebangkitan Nasionalisme Melayu Sebelum Umno’ merakamkan sebahagian kisah itu. Mustapha sebagai tokoh cendikiawan Melayu yang berjiwa kiri ketika itu menjadi rujukan Jepun. Beliau mencadangkan supaya seorang inteligen Melayu yang masih muda, Dr Burhanuddin al-Helmy dilantik sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Gunseikanbu (Pejabat Propaganda), di Syonan (Singapura) pada 1943. Pada 1944, Dr Burhanuddin al-Helmy mula bertugas sebagai Penasihat Adat Melayu di Markaz Besar Tentera Jepun di Taiping, Perak. Dr Burhanuddin al-Helmy adalah pegawai Melayu yang paling tinggi jawatannya dalam Pemerintahan Tentera Jepun di Malai (Tanah Melayu).

Ketika berkhidmat dengan Jepun ini, Dr Burhanuddin al-Helmy berkata, beliau mengambil pendekatan ‘Musa dalam Istana Firaun’ untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya. Pada pandangan beliau, bagi memperjuangkan kemerdekaan, tenaga ulamak seluruh Malai dan Sumatera mesti disatukan untuk membina kekuatan umat Islam. Melalui Gunseikanbu, Persidangan Alim Ulamak Malai-Sumatera diadakan di Syonan pada 1943. Hamka yang hadir dalam persidangan ini mewakili Kerajaan Deli turut mencatatkan mengenai persidangan ini. Pada 1944, Dr Burhanuddin al-Helmy menganjurkan satu lagi persidangan ulamak, Persidangan Majlis Agama Malai-Sumatera di Kuala Kangsar. Rancangan Dr Burhanuddin al-Helmy untuk menganjurkan satu lagi persidangan serupa pada 1945 telah ditolak oleh Jepun, setelah penjajah itu menyedari adanya pergerakan politik di sebalik persidangan-persidangan tersebut.

Dalam tahun 1945 itu, Dr Burhanuddin al-Helmy yang turut mendapatkan pandangan-pandangan politik Mustapha Hussein telah membawa isu kemerdekaan Tanah Melayu kepada Pemerintah Tentera Jepun di Taiping. Mustapha Hussein telah mencatatkan bagaimana kisah Dr Burhanuddin al-Helmy diminta oleh Jepun untuk menyediakan sebuah draf Perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka. Dr Burhanuddin al-Helmy bukan sahaja berbincang dengan Mustapha Hussein, tetapi turut bermunajat kepada Allah pada malam hari, agar negara ini mendapat kemerdekaan. Mustapha Hussein memberitahu bagaimana beliau melihat Dr Burhanuddin al-Helmy begitu bersungguh-sungguh bermunajat dalam tahajudnya sehingga menangis teresak-esak merayu pertolongan Allah.

Akhirnya, Dr Burhanuddin al-Helmy telah menyiapkan sebuah draf Perlembagaan Tanah Melayu merdeka dengan menjadikan Perlembagaan Amerika Syarikat sebagai rujukan perbandingannya. Draf Perlembagaan ini dikenali sebagai Piagam Taiping. Piagam ini telah dikemukakan kepada Pemerintah Tentera Jepun dan diterima untuk rundingan lanjut dengan Markaz Besar Tentera Jepun Asia Tenggara di Saigon. Pada 8 Ogos 1945, Sukarno, Mohammad Hatta dan Radjiman Wediodiningrat telah bertolak ke Dalat, Vietnam untuk berunding dengan Terauchi, Pemerintah Tentera Jepun Asia Tenggara. Mereka singgah di Taiping dari Jakarta untuk berunding dengan Ibrahim Haji Yaakub dan Dr Burhanuddin al-Helmy mengenai kemerdekaan bersama.

Di Tanah Melayu, bagi tujuan mencapai kemerdekaan ini, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaakob telah menubuhkan sebuah badan politik, Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945 untuk mengendalikan perisytiharan kemerdekaan. Di Indonesia, proses perundingan kemerdekaan dengan Jepun turut mencapai tahap kemuncaknya sehingga Sukarno, Mohamad Hatta dan Radjiman dipilih untuk mewakili Indonesia bagi memutuskan tarikh kemerdekaan mereka. Bung Karno dan Bung Hatta yang tiba dengan pesawat di Taiping dari Jakarta, dalam perjalanan ke Saigon telah bertemu dengan wakil Tanah Melayu. Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaakob yang mewakili Tanah Melayu telah membuat perjanjian dengan Bung Karno dan Bung Hatta di Lapangan Terbang Taiping supaya Tanah Melayu dan Indonesia dapat mengisytiharkan kemerdekaan serentak pada 17 Ogos 1945. Bung Karno dan Bung Hatta akan mendapatkan tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu daripada Tentera Jepun dalam perundingan tersebut di Saigon.

Pada 13 Ogos 1945, rombongan Bung Karno, Bung Hatta dan Radjiman tiba di Taiping dari Saigon dan bertemu dengan Ibrahim Haji Yaakub bersama beberapa pegawai Jepun. Ibrahim Haji Yaakub diberitahu bahawa Jepun telah bersetuju memberikan kemerdekaan serentak kepada Indonesia dan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1945. KRIS akan mengaturkan seluruh proses perisytiharan kemerdekaan tersebut bagi pihak Tanah Melayu. Bung Karno yang tiba di Jakarta pada 13 Ogos 1945 pula telah memberitahu rakyat Indonesia bahawa ‘Sebelum jagung berbunga, Indonesia pasti merdeka’.

Di pihak KRIS, Tanah Melayu merdeka adalah berasaskan Piagam Taiping, draf Perlembagaan yang digubal oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dan dipersetujui oleh Pemerintah Tentera Jepun di Taiping. KRIS pula akan mengaturkan majlis proklamasi kemerdekaan di Kuala Lumpur pada 17 Ogos 1945. Dr Burhanuddin al-Helmy dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Tanah Melayu yang merdeka. Namun begitu, rencana mereka tergendala kerana serangan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945 telah membuatkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Tidak seperti di Jakarta, proses Proklamasi Kemerdekaan di Kuala Lumpur telah tertangguh kerana beberapa pemimpin KRIS telah melarikan diri ke Indonesia. Dr Burhanuddin al-Helmy tidak dapat berbuat apa-apa, seluruh rancangan asal tersebut telah terbatal dan kemerdekaan terpaksa ditangguhkan.

Tertangguhnya merdeka kerana satu kesilapan teknikal bukanlah satu dosa. Tetapi menyembunyikan maklumat sejarah, sehingga ia tenggelam sedalam-dalamnya dari pengetahuan anak bangsa adalah satu dosa. Maklumat mengenainya diperukkan semata-mata untuk mengatakan kemerdekaan negara ini adalah hasil usaha Umno. Buku sejarah, buku sekolah dan seluruh kisah telah menjadi alat hegemoni pemerintah. 66 tahun fikiran rakyat diperbodoh, bahawa pemimpin merekalah bapa kemerdekaan, sedangkan mereka memperolehinya tanpa perjuangan, hanya berbincang di meja rundingan. Tiada air mata, keringat dan darah yang ditumpahkan, akibatnya seluruh kepentingan agama dan bangsa tergadai di meja rundingan. Untuk menutup kelemahan itu, hanya kisah tuntutan yang lahir selepas Perang diketengahkan, sedangkan air mata, keringat dan darah yang tumpah sebelumnya disembunyikan.

Harus kita bertanya sekarang…

I. Kenapa proses menuntut kemerdekaan ini disembunyikan, sedangkan rundingan dengan British di London diuar-uarkan?

II. Kenapa Dr Burhanuddin al-Helmy atau Ibrahim Haji Yaakub tidak dianggap bapa kemerdekaan atau pahlawan nasional, lalu pemimpin Umno yang diketahui menjadi penyokong British sejak era Malayan Union yang ditabalkan?

III. Kenapa Piagam Taiping tidak diperkatakan, tetapi Perlembagaan PTM 1948 pula yang dibesar-besarkan?

IV. Apakah Umno itu pejuang kemerdekaan sebenar, sedangkan yang menumpahkan air mata, keringat dan darah dipencilkan. Sumbangan para ulamak kenapa disepikan?

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 1/9/2023

Ulasan