Ringgit jatuh lagi, tambah kos sara hidup rakyat




KUALA LUMPUR: Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), terkini pada hari ini (29 Sept) yang mencatat RM4.71 berbanding AS$1 menambah dan mengeruhkan lagi beban yang ditanggung rakyat angkara kos sara hidup sedia meningkat ketika ini.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, sehingga hari ini, masih tiada penyelesaian tuntas untuk mengukuhkan nilai ringgit.

“Kita lihat, semakin lemah nilai ringgit (RM), maka semakin tinggilah harga barangan yang diimport. Akhirnya, rakyat juga yang menerima tempias tersebut,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, peningkatan kos sara hidup kini berterusan mencengkam kehidupan rakyat; dan pelbagai dapatan kajian serta laporan yang dibentangkan membuktikan masalah ini sangat serius, sekali gus menuntut perhatian dan penyelesaian tuntas kerajaan melalui inisiatif jangka pendek dan panjang.

“Baru-baru ini, terdapat satu kajian berkenaan krisis kos sara hidup yang didorong inflasi di United Kingdom (UK) yang dijangka meningkatkan risiko kematian selain meluaskan jurang kekayaan dan kesihatan,” dedah beliau.

‘Yang tinggal hanya garam’

Kajian itu, tambah Shahir, dikeluarkan oleh jurnal, BMJ Public Health yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja; yang mana menurut kajian itu, tekanan kos sara hidup tinggi boleh menyebabkan kematian meningkat hampir 6.5 peratus. Syahir Adnan

“Keadaan yang berlaku di UK itu turut berlaku di negara kita, Malaysia. Kita lihat, krisis bekalan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia, masih belum lagi selesai.

“Bayangkan terdapat golongan miskin tegar yang dahulunya makan nasi dengan garam. Kini, dek kerana tiada beras tempatan yang murah, nasi pun tidak dapat dimasak. Yang tinggal hanya garam. Ini adalah situasi getir yang cukup membimbangkan,” tegasnya.

Tambah Shahir, kos sara hidup yang tinggi turut membebankan golongan M40 dan B40 di kawasan bandar.

“Kos kehidupan, sama ada kos untuk menyara kelangsungan hidup semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas.

“Kos gaya hidup turut semakin meningkat akibat corak perbelanjaan dan tahap kehidupan yang berubah sehingga menjadikan rakyat derita ketika ini.

Kerajaan perlu main peranan

“Malangnya keadaan ini diburukkan lagi dengan pendapatan tidak meningkat, upah dan gaji merosot, sistem perlindungan sosial tidak mencukupi, hutang isi rumah masih tinggi, kadar kemiskinan masih serius, serta peningkatan harga perkhidmatan asas dalam kehidupan, seperti pendidikan, perubatan serta perumahan,” kongsi beliau lagi.

Justeru, ujar beliau, pihak kerajaan yang mentadbir Malaysia pada masa kini perlu memainkan peranan bagi memastikan kadar inflasi dapat dikawal malah mengawal kenaikan harga barangan selain menawarkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat yang terkesan.

“Langkah sedemikian dapat memastikan mereka yang terkesan mendapat manfaat secara menyeluruh malah turut membantu menangani beban kos sara hidup rakyat begitu dirasai dan terkesan ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

Ulasan