Sekat media tindakan terdesak, bercanggah janji Anwar


SAYA melihat apa yang berlaku kepada kebanyakan media kebelakangan ini sangat membimbangkan.
Isu sekatan bersuara ini makin berleluasa. Bermula dengan laman sesawang MalaysiaNow dan terbaru ke atas TV Pertiwi, saya melihat Kerajaan PH-BN semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap PN.

Kita melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Dato’ Seri Anwar sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu.

YAB Perdana Menteri perlu menunaikan ikrar untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto beliau.

Saya menyokong desakan oleh Wartawan Kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak bertindak seolah-olah sebagai ‘Big Brother‘ (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.

Sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan mengenai sesuatu perkara dengan maklumat benar. Kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil dari kebebasan bermaklumat.

DATO’ SRI USTAZ TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 1/9/2023

Ulasan