Siap sedia perang lebih panjang di Ukraine – Ketua NATO



FRANKFURT: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg memberi amaran peperangan di Ukraine tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Kenyataan itu dibuat oleh Stoltenberg dalam satu wawancara ketika Kyiv meneruskan serangan balasnya terhadap Russia.

“Kebanyakan peperangan berlanjutan lebih lama berbanding apa yang dijangkakan apabila ia mula bermula.

“Oleh itu, kita harus bersiap sedia untuk perang panjang di Ukraine,” katanya dalam wawancara bersama kumpulan media Funke Jerman.

Konflik bermula pada Februari tahun lalu apabila Moscow mengerahkan pasukan tenteranya ke Ukraine, sekali gus membawa perang kembali ke Eropah buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad.

Dilaporkan, Kyiv melancarkan serangan balas terhadap Russia pada Jun lalu.


Tindakan itu secara tidak langsung menolak kedudukan Russia yang bertapak di kawasan selatan dan timur.

“Kami semua mengharapkan keamanan segera berhubung perkara berkenaan.

“Malah, pada masa yang sama, kita harus mengiktiraf jika Presiden Volodymyr Zelensky dan warga Ukraine berhenti bertempur, negara mereka tidak akan wujud lagi.

“Sekiranya Presiden Vladimir Putin dan Russia meletakkan senjata mereka maka kita akan mendapat keamanan,” kata Stoltenberg.

Berhubung hasrat Ukraine untuk menyertai pakatan itu, Stoltenberg menegaskan `tiada keraguan bahawa Ukraine akhirnya akan berada dalam NATO’.

Sebelum ini, Stoltenberg dalam sidang kemuncak perikatan itu pada Julai lalu mengesahkan Kyiv sudah ‘bergerak’ lebih dekat dengan NATO.

“Apabila perang ini tamat, kita memerlukan jaminan keselamatan untuk Ukraine. Jika tidak, sejarah boleh berulang,” katanya.

Pada sidang kemuncak yang berlangsung di Vilnius, pemimpin NATO bersetuju Ukraine boleh menyertai pakatan itu sebaik saja syarat tertentu dipenuhi.

Malah, pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Jerman menyatakan dengan jelas bahawa syarat itu termasuk Kyiv melaksanakan reformasi untuk melindungi demokrasi dan kedaulatan undang-undang. – AFP

Ulasan