Tiada ‘Islam ala PAS’ atau ‘Islam ala Umno’


ISLAM ialah Islam. Pendekatan dan pemahaman selagi berdasarkan nas boleh dibahaskan secara ilmiah.

Datuk Nur Jazlan jangan nak sesatkan masyarakat dengan terminologi yang sengaja diada-adakan seperti ini.

Kononnya PAS akan membawa pendekatan ala Iran dan Taliban, ini bahasa yang digunakan oleh orang parti lain sebelum ini, rupa-rupanya sudah meresap masuk kepada pemikiran kepala pemimpin Umno seperti Nur Jazlan.

Dikatakan bahawa Johor akan jadi ‘mundur seperti Kelantan’ dan Kelantan tiada apa-apa.

Jika nak dibahaskan, tahukah Nur Jazlan bahawa statistik pada tahun 2019 menyebut bahawa Johor menjadi negeri yang paling tinggi permohonan guru untuk bertukar keluar dan Kelantan menjadi negeri paling tinggi guru yang mahu bertukar masuk? Rujuk https://www.pendidik2u.my/kelantan-paling-banyak-permohonan-masuk-johor-paling-ramai-nak-keluar/

Jika Kelantan ini serba kekurangan, kenapa guru-guru mahu memohon bertukar masuk ke Kelantan menempuh segala kesusahan dan kepayahan tiada kemajuan, dan di Johor yang serba serbi maju pula, guru-guru berebut-rebut mahu keluar?

Ya, itu bukan satu-satunya indikator, tetapi jika mahu dikatakan bahawa Johor serba-serbi maju, Nur Jazlan belilah cermin dan tiliklah fakta terlebih dahulu.

Tahukah Nur Jazlan bahawa lebih 100,000 penduduk Johor sedang bekerja di Singapura pada hari ini dan berulang-alik setiap hari? Rujuk: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/229255 Adakah itu tandanya Johor mundur?

Sepatutnya Nur Jazlan malu dengan perkembangan hari ini apabila beliau terang-terang meminta DAP meminda Perlembagaan dan menggugurkan perjuangan Malaysian Malaysia telah dibalas mentah-mentah oleh pimpinan DAP bahawa tiada sebarang keperluan untuk DAP meminda perlembagannya dan mengeluarkan perjuangan Malaysian Malaysia.

Nah, diludah sendiri oleh pimpinan DAP pada saat PRK Pulai sedang berlangsung. Aduh… tidak malukah Nur Jazlan?

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia- HARAKAHDAILY 3/9/2023

Ulasan