Adun PH rakam video di lokasi Pasar Siti Khatijah retak


KOTA BHARU: Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) didakwa membuang pita keselamatan kuning di Pasar Siti Khadijah di lokasi yang mengalami sedikit keretakan pada lantai bumbung di tingkat satu.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang menyelia pasar terbabit.

Katanya tindakan tersebut dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menutup bahagian terbabit buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga.

“MPKB-BRI mengambil tindakan pantas menarik tali kuning untuk menutup sementara tempat itu daripada dilalui oleh orang awam untuk keselamatan mereka.

“Saya difahamkan wakil rakyat Dun Kota Lama dilapor pergi ke tempat itu dan buka tali kuning, dia masuk dan buat video situ. Ini tindakan yang tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kuliah Dhuha sempena sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Wisma PAS Kota Bharu di sini hari ini.

Sebelum ini Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dilapor melawat pasar ikonik tersebut yang menjadi tumpuan pelancongan dalam dan luar di Kota Bharu.

Pada lawatan tersebut beliau meninjau kerosakan sehingga berlaku kepingan simen jatuh dari bumbung pasar tersebut, bagaimanapun tidak berlaku sebarang kecederaan.

Takiyuddin yang juga Yang Dipertua PAS Kota Bharu berkata, Adun terbabit difahamkan mendakwa kononnya beliau mengambil berat serta prihatin terhadap pengurusan pasar tersebut.

Sedangkan kata beliau aspek pengurusan dan penyelenggaraan tersebut diletakkan sepenuhnya di bawah MPKB-BRI sebagai badan bertanggungjawab.

“Kami wakil rakyat di Kota Bharu sentiasa mengambil berat perkara-perara yang berkaitan dengan pasar itu, saya nak jelas juga tindakan membaiki kerosakan telah diambil oleh MPKB-BRI.,

“Ketika Adun PH meninjau pasar terbabit MPKB BRI sudah mengambil langkah membekalkan bahan-bahan dan peralatan untuk membaiki keretakan lantai bumbung tingkat satu gerai-gerai di sekitarnya,” kata beliau.

Dalam pada itu Pejabat Ahli Parlimen Kota Bharu mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada MPKB-BRI bagi menceriakan Pasar Besar Siti Khatijah bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau juga menasihati wakil rakyat berkenaan supaya mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh PBT agar sebarang tindakan mahu pun keputusan yang dilakukan supaya tidak mengelirukan rakyat.

“Sebagai wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, dia kena berurusan dengan pihak yang bertanggungjawab dengan pasar tersebut iaitu MPKB-BRI.

“Ikut prosedur jangan cakap sahaja, kita sebagai wakil rakyat, PBT dan kerajaan negeri sentiasa kerjasama bagi menyelesaikan masalah terbabit secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2023

Ulasan