Agong mahu kuasa besar henti pertempuran di Palestin




KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia memikul tanggungjawab menghentikan pertempuran di bumi Palestin dengan serta-merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin, berkata langkah itu bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah lebih teruk di negara berkenaan.

“Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di bumi Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zahari berkata baginda turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan kerajaan yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera supaya semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka turut meminta negara Islam terutama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah dihadapi Palestin.

“Penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya.

Zahari berkata, Seri Paduka bertitah Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan mahu seluruh rakyat terus memperjuangkan prinsip keadilan, hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan segera.

Menurutnya Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong mendoakan supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Katanya, baginda turut meminta masjid dan surau di negara ini serta rakyat beragama Islam mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

Ulasan