Apa garis panduan larangan bersuara isu 3R


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah garis panduan kerajaan dalam bertindak terhadap larangan bersuara isu 3R.

Beliau yang juga Presiden PAS bertanyakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikut ialah soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha Kerajaan mengatasi masalah kes keganasan yang telah dilakukan oleh “Ah Long” atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen memandangkan semakin banyak kes yang menunjukkan Ah Long ini telah merosakkan harta benda orang awam secara sewenang- wenangnya walaupun mereka bukan peminjam kepada Ah Long.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) boleh menberhentikan sementara pemotongan gaji sementara menunggu projek perumahan yang tidak siap disambung kembali.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:

(a) tahap kemajuan pembinaan Kompleks IPD Klang Utara yang merangkumi lokap dan kuarters dan berapakah jumlah modal insan yang bakal ditempat di sini; dan

(b) mekanisme pihak Kerajaan bagi memastikan integriti dan komitmen anggota polis yang menjaga kawasan yang mencabar seperti pihak polis marin menjaga keselamatan persisiran pantai di Selat Klang dan di Pulau Ketam.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Kesihatan menyatakan usaha-usaha Kementerian menyelaras (memusatkan) pendaftaran temujanji pesakit bagi memudahkan rakyat terutama golongan orang kurang upaya dan warga emas dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Ini berikutan rungutan daripada golongan ini mengenai sistem pendaftaran temu janji di Hospital-hospital Kerajaan yang perlu dibuat secara berasingan dan adalah satu cabaran kepada golongan yang uzur ini kerana jarak di antara klinik-klinik ini adalah sangat jauh.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Kesihatan menyatakan usaha Kementerian untuk mengkaji semula penyelarasan gaji jururawat memandangkan kebanyakan jururawat Malaysia lebih suka bekerja di luar negara.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Kerajaan mempunyai perancangan agar proses penukaran tiket bas daripada aplikasi pihak ketiga seperti Traveloka, Tiket.com, RedBus, EasyBook kepada boarding pass syarikat bas yang dinaiki dapat dilancarkan, agar dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di terminal bas terutamanya waktu-waktu perayaan.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran] minta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh manakah tindakan Kementerian dalam usaha menyegerakan pembinaan Hospital Maran yang telah diluluskan sejak RMKe-11 lagi dan mengapa masih tiada apa-apa lagi tindakan sehingga kini.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh manakah serius masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah negara.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [Larut] minta Menteri Kewangan menyatakan bila dan apakah tindakan yang akan diambil ke atas pihak yang terlibat dalam skandal Skim Insuran Am Selangor (INSAN) berikutan pelanggaran tatakelola di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kerana mendaftar consumer secara haram tanpa pengetahuan dan kebenaran penama.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Menteri Kewangan menyatakan status terkini pengambilalihan Boustead Naval Shipyard oleh Kementerian Kewangan dan apakah hala tuju atau visi misi dan objektif terhadap pengambilalihan tersebut.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan khusus Kementerian untuk menampung kepadatan pelajar di SK Kebun Baru, SK Jenjarum dan SK Bukit Changgang.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah pelan terperinci pihak Kementerian terhadap kesinambungan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan 2013- 2025.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan kuota Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) yang dibenarkan oleh Kementerian dan apakah faktor mendesak yang mendorong kepada keperluan jururawat import ini.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan pihak Kementerian dalam menambah dan menaik taraf kemudahan infrastruktur sekolah- sekolah di luar bandar agar seimbang dengan perkembangan arus perdana termasuklah capaian internet.

Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah perancangan pembinaan Sekolah Berasrama Penuh di Daerah Manjung yang jumlah penduduknya hampir 300,000 orang di mana tiada sekolah berasrama di daerah ini.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan:

(a) status pembinaan bangunan tambahan Kolej ERT Puteri Temerloh yang bermula pada 14 Disember 2020, dijangka siap pada 14 Ogos 2022; dan

(b) bila tarikh pihak sekolah boleh menggunakan bangunan itu sepenuhnya.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan pelan tindakan Kementerian bagi membangunkan usahawan yang menggunakan kemudahan digital bagi meningkatkan pemasaran produk tempatan yang dihasilkan.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Kesihatan menyatakan kajian kebolehlaksanaan dan garis panduan yang telah dibangunkan oleh Kementerian bagi mengelakkan risiko kes keracunan akibat penjualan ubat tanpa kawalan susulan cadangan mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah garis panduan Kerajaan dalam bertindak terhadap larangan bersuara isu 3R (raja, agama dan kaum). – HARAKAHDAILY 11/10/2023

Ulasan