‘Bila faham perjuangan kita, ramai mendukung PAS, PN’



SHAH ALAM: PAS dan PERIKATAN NASIONAL akan menjadi kuat jika semua organisasi dalam PAS sepakat melaksanakan usaha memperkasakan gerakan masing-masing.

Perwakilan Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, apabila PAS diperkasakan, maka PERIKATAN NASIONAL akan jadi lebih perkasa.

Katanya ini kerana PAS merupakan rakan kerja sama dan penyumbang utama ke arah kejayaan atau kemenangan PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berkata, Sidang As-Sabiqun Pusat menyokong penegasan ucapan dasar Tuan Guru Presiden iaitu perlunya mempertingkatkan kefahaman masyarakat tentang dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS bersama PERIKATAN NASIONAL.

“Bila ramai yang faham perjuangan kita, maka akan ramailah masyarakat bersama mendukung perjuangan PAS dan PERIKATAN NASIONAL.

“Kami menyokong penuh saranan ucapan dasar Tuan Guru Presiden bahawa PAS mencapai kemenangan berlandaskan prinsip istiqomah dalam aqidah perjuangan,” katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau di antara ciri-ciri kemenangan ialah mempunyai ahli yang beriman dan bertaqwa kepada Allah serta bersabar menghadapi ujian dalam melaksanakan tugas di lapangan masing-masing.

Begitu juga kata beliau sikap wala’ kepada jemaah satu perkara yang sangat mustahak untuk dihayati.

Jelas beliau, PAS melalui PERIKATAN NASIONAL telah memberikan harapan besar kepada perjuangan Islam dan berusaha merealisasikan janji Allah untuk menegakkan agama Islam. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

Ulasan