DAP mahu paksa PAS terima Malaysia negara sekular



KETIKA menyampaikan Ucapan Dasar bertema ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’ sempena Muktamar Tahunan PAS ke-69 di IDCC Shah Alam baru-baru ini Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ada menyebut: “Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah memberi jaminan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup untuk semua kaum dan agama negara ini. PAS berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.”

Tuan Guru Presiden PAS menekankan bahawa tidak seperti gambaran buruk yang diberi oleh musuh-musuh politik PAS, pemerintahan PAS di negeri-negeri bawahnya berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak pernah dihalang.

Mereka bebas mengamalkan adat dan kepercayaan masing-masing di negeri-negeri ini, bebas berniaga dan mencari rezeki tanpa halangan, malah kehidupan mereka di negeri-negeri bawah PAS adalah terjamin, aman dan sejahtera.

Lantas Tuan Guru Presiden PAS mahukan usaha dipertingkatkan melawan propaganda jahat terhadap PAS dan semoga PAS dapat memenangi hati segmen pengundi bukan-Islam dan dengan itu menang lebih banyak kerusi setelah PAS kini berjaya menguasai undi pengundi Melayu.

Hasrat mahu memenangi kepercayaan pengundi bukan-Melayu ini tiba-tiba cuba diperkecilkan oleh pimpinan DAP, yang sejak kebelakangan ini cukup aktif menyerang dan memusuhi PAS.

Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng memberi reaksi bahawa untuk mencapai hasrat Tuan Guru itu PAS mestilah terlebih dahulu menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Ternyata DAP yang kuat memusuhi PAS itu memantau dan mengikuti perkembangan dalam parti Islam yang merupakan parti yang memiliki wakil rakyat terbesar di Parlimen hari ini, lebih ramai dari mereka.

Sudah pasti sebagai musuh tegar PAS, mereka akan lakukan apa sahaja untuk menyekat dan menghalang kemaraan PAS yang mereka dakwa pencetus pada ‘Gelombang Hijau’ yang perlu dibimbangi masyarakat bukan-Islam itu.

Menjawab ‘jurucakap’ DAP ini, kita perlu sebagaimana dijelaskan oleh Timbalan Presiden PAS Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengkaji Perlembagaan DAP sendiri.

Di bawah Fasal II disenaraikan matlamat-matlamat DAP. Matlamat kedua berbunyi: Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal. Dalam versi Bahasa Inggerisnya ‘memulihkan’ bermaksud ‘restore’. Ini bermakna pada DAP Perlembagaan Negara kita tidak sekular, tetapi perlu diperjuangkan agar ia dipulihkan menjadi sekular.

Apakah maksud sekular? Menurut kamus Oxford ia bermaksud sesuatu yang tidak berkaitan dengan agama atau kerohanian. Manakala menurut kamus Collins pula ia bermaksud sesuatu yang tiada berkaitan dengan kecenderungan agama.

Bermakna memperjuangkan sekular ini adalah usaha untuk memisahkan agama dari hal ehwal kenegaraan dan dalam hubungan ini bermaksud DAP mahu agar undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan bebas dari sebarang ikatan dengan urusan keagamaan kecualilah Islam itu sebagai agama Persekutuan dengan maksud hanya untuk adat istiadat kenegaraan dan tidak lebih daripada itu.

Hari ini kita punya Majlis dan Jabatan Agama di negeri-negeri selain portfolio Exco Agama, di peringkat Persekutuan kita punya Jabatan Kemajuan Islam dan Kementerian Hal Ehwal Agama. Kita punya mahkamah syariah dan sistem perundangan Islam yang menguruskan hal-ehwal Islam di kalangan masyarakat yang beragama Islam.

Kita punya Institusi Zakat yang menguruskan hal percukaian menurut syariat Islam yang berkaitan dengan penganut Islam. Kita punya Lembaga Urusan Tabung Haji yang menguruskan hal ehwal ibadat haji warga Malaysia yang beragama Islam.

Kita punya institusi Pendidikan Islam, sekolah agama rendah dan menengah, kolej dan universiti Islam selain pembelajaran Pendidikan Islam di peringkat rendah dan menengah. Kita punya institusi kewangan dan perbankan Islam.

Semua ini merupakan hal-ehwal berkaitan agama yang terdapat penglibatan langsung atau tidak langsung oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

Memperjuangkan agar Perlembagaan Persekutuan Negara kita bertukar menjadi sekular, sebagaimana tuntutan DAP bermakna memutuskan hubungan kerajaan dengan perkara-perkara pokok di atas. Islam sebagaimana agama lain bertukar menjadi urusan ‘private’, atau peribadi bukan lagi bernaung bawah kerajaan apa lagi diterapkan nilai-nilainya dalam urusan berkerajaan.

Tuan Guru Presiden PAS mahu PAS mendekati masyarakat bukan-Islam agar mereka boleh faham dan boleh mengundi PAS yang berjuang Islam kerana Islam beri keadilan pada semua.

Munasabahkah dalam hal ini PAS ikut pula seruan DAP untuk menerima Malaysia sebagai sebuah negara sekular sedangkan realitinya ia tidak sekular?

Ini membuktikan betapa ‘confused‘ atau berserabutnya perjuangan DAP, walau telah bertapak lebih 50 tahun dalam negara, tetapi masih enggan menerima dan memahami Islam yang merupakan anutan majoriti rakyat dalam negara ini.

Jika benar Malaysia sebuah negara sekular sebagaimana didakwa DAP, mengapa Perlembagaan parti mereka menyebut bahawa mereka bermatlamat mahu ‘restore‘ atau memulihkan Perlembagaan Persekutuan menjadi sekular?

Ini bermakna Perlembagaan Persekutuan sedia ada tidak sekular tetapi DAPlah yang mahu menjadikan ia sekular.

Inilah yang sewajarnya lebih dibimbangi oleh masyarakat Malaysia, berbanding usaha PAS untuk memahamkan konsep ‘PAS for all’ pada masyarakat berbilang kaum dalam negara.

PAS kini sudah berjaya memenangi majoriti sokongan masyarakat Melayu Islam. Mereka iktiraf bahawa PAS mampu membawa kebaikan pada negara berbanding parti lain.

Pimpinan PAS lebih bersih, bermoral dan berintegriti berbanding pimpinan parti-parti Melayu Islam yang lain. Mereka dahagakan pembaharuan dan mereka sedar ini hanya mampu dilaksanakan oleh pimpinan yang punya kualiti yang baik.

PAS mahu masyarakat bukan-Melayu juga faham bahawa PAS sesungguhnya mahu menawarkan pimpinan yang berkualiti yang boleh menyelamatkan negara ini. Negara ini perlu pisahkan dari pimpinan yang ekstrem, rasis, tempang serta pincang. Dan paling penting Masyarakat bukan-Melayu perlu diberi peluang mengenali dan menilai PAS.

Kini kami punya Kerajaan negeri di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah yang boleh disaksikan oleh masyarakat bukan-Melayu. Apa yang mahu dibimbangi pada PAS?

Islam yang ia perjuangkan bukannya mahu menghapus atau menekan masyarakat bukan-Islam tetapi sebaliknya mahu membela nasib semua rakyat termasuklah yang bukan-Islam sebagaimana di empat buah negeri PAS tersebut hari ini.

DAP bimbang pengaruh PAS kerana ianya akan menghakis sokongan dan kepercayaan rakyat pada mereka. Lalu ditaburlah pelbagai fitnah dan anggapan jahat pada PAS.

Biarlah mereka begitu, yang penting rakyat perlu didekati dan disedarkan sebagaimana seruan Tuan Guru Presiden kita.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Selangor – HARAKAHDAILY 30/10/2023

Ulasan