Gubal akta baharu perkukuh SPRM tangani pembiayaan dana politik, pengubahan wang haram




Pushpan Murugiah.

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran segera melaksanakan beberapa pembaharuan, khususnya mempercepatkan penggubalan akta berkaitan pembiayaan dana politik dan pengisytiharan harta bagi menangani jenayah pengubahan wang haram di Malaysia.

Demikian pandangan aktivis memerangi rasuah dan pakar undang-undang yang turut melihat Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 juga mesti diperkukuh, selain diwujudkan pemantauan dan kawalan ke atas urus niaga mata wang kripto.

Semua langkah itu dilihat boleh menangani jenayah pengubahan wang haram yang dikesan semakin serius di negara ini, malah dikhuatiri turut melibatkan 'orang dalam', termasuk kemungkinan sesetengah individu dalam agensi penguatkuasaan.

Seksyen 36 Akta 2009 berkaitan keperluan untuk pegawai awam memberi penjelasan kepada SPRM bagaimana mereka memiliki lebihan harta hingga mampu hidup di luar kemampuan kewangan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah, akta pembiayaan dana politik dan pengisytiharan harta antara yang dilihatnya perlu digubal segera.

"Ia perlu untuk mengawal derma politik, manakala undang-undang pengisytiharan aset pula untuk memastikan kita boleh memantau peningkatan kekayaan pegawai awam dan ahli politik. Kita juga perlu menyegerakan undang-undang pemilikan benefisial.

"Ia untuk mendedahkan benefisiari sebenar atau pemilik syarikat untuk elak penyalahgunaan proksi. Seksyen 36 Akta SPRM mesti diperkukuh supaya siasatan lebih jitu dibuat ke atas pegawai awam yang hidup di luar kemampuan," katanya kepada BH, semalam.

Katanya, urusan menggunakan mata wang kripto mesti dikawal untuk menghalang mekanisme kewangan alternatif melalui transaksi rentas sempadan bagi menghalalkan hasil haram.

"Jenayah pengubahan wang haram haram kini menjadi masalah serius apabila dunia menjadi komuniti global disebabkan transaksi rentas sempadan yang lebih kerap dan mudah," katanya.

Semalam, BH memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan derma kepada badan amal, sembunyi kekayaan atas nama proksi serta pembiayaan politik, dikenal pasti antara modus operandi jenayah pengubahan wang haram yang semakin aktif di negara ini.

Tan Sri Azam Baki.

Katanya, modus operandi jenayah itu semakin hebat selari perkembangan semasa dunia dengan dalang juga beroperasi secara sindiket dan menjana keuntungan hasil pengubahan wang haram melalui syarikat berdaftar atas nama proksi untuk menyembunyikan kekayaan.

Jenayah makin berkembang

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Salawati Mat Basir, tidak menolak kemungkinan jenayah berimpak tinggi seperti pengubahan wang haram makin berkembang disebabkan kerjasama penjenayah dengan 'orang dalam'.

Prof Dr Salawati Mat Basir.

Katanya, kemungkinan ada anggota dan pegawai agensi yang mempunyai kuasa terbabit dalam jenayah itu atau membiarkannya berleluasa tidak boleh ditolak kerana dana yang terbabit adalah besar dan boleh mendorong perlakuan rasuah, termasuk melindungi penjenayah.

"Sebenarnya, jenayah pengubahan wang haram sangat serius di negara ini kerana mereka sedaya upaya 'mencuci' wang.

"Disebabkan itulah, laporan antarabangsa seperti Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) menyenaraikan Malaysia sebagai negara mempunyai wang haram," katanya.

Salawati berkata, dalam satu kes membabitkan sebuah syarikat yang disiasat pihak berkuasa sebelum ini, dilaporkan syarikat itu melantik individu nama besar, dipercayai supaya operasinya tidak mengundang kesangsian mana-mana pihak.

Katanya, pengubahan wang haram akan memberi kesan amat buruk kepada produktiviti negara disebabkan pengaliran masuknya dilakukan secara berselindung di sebalik projek tertentu seperti bagi projek pembinaan bangunan atau pusat kebajikan, yang sebaliknya hanya untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Ada juga wang haram dilaburkan kepada individu tertentu kerana individu itu kemudian mampu memiliki kekayaan luar biasa, ada wang puluhan juta ringgit dalam akaun," katanya.

Noor Mohamad Shakil Hameed.

Penganalisis, Noor Mohamad Shakil Hameed, menyarankan kerajaan meneliti semula proses dan prosedur kelulusan penubuhan syarikat untuk memastikan pihak yang mahu mengubah wang haram di negara ini tidak mengambil kesempatan pembangunan Malaysia.

"Terdapat persoalan, adakah proses (menubuhkan syarikat) terlalu mudah hingga ada pihak tertentu boleh ambil kesempatan dan sewenang-wenangnya menubuhkan syarikat yang kemudian diguna untuk mengubah wang haram dengan mengaburi pihak berkuasa dan rakyat?

"Jadi, ia perlu diperketatkan dan menitikberatkan proses due diligence yang lebih ketat seperti menapis betul-betul latar belakang pengerusi dan ahli lembaga pengarah, selain aktiviti atau perniagaan yang di ceburi.

"Perlu juga ada mekanisme atau sistem pemantauan berterusan terhadap aktiviti perniagaan sesebuah syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kita dapat sentiasa mengikuti dan memantau gerak geri mereka. Penggunaan teknologi untuk memantau perlu dititikberatkan," katanya.

Katanya, jenayah berkenaan sukar dikesan dan wujud kebimbangan wang hasil aktiviti haram digunakan untuk tujuan jenayah seperti pembiayaan keganasan dan aktiviti melanggar undang-undang.

"Antara yang dibimbangi adalah kesan buruk industri kecil dan sederhana serta pelbagai lapisan individu. Sekiranya tidak menyedari kaedah sindiket, mereka pasti akan menerima pelaburan daripada mana-mana pihak tanpa mengetahui latar belakangnya," katanya.

Ulasan