Harga ayam naik 4 kali seminggu


KOTA BHARU: Peniaga mendakwa harga ayam naik empat kali dalam tempoh seminggu sehingga barangan mentah itu kini dijual RM9.40 sekilogram berbanding RM8.30 sekilo minggu lalu.

Zarina Abdullah, 54, peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah di sini berkata dalam tempoh dua hari harga naik 30 sen dan dalam minggu ini sudah empat kali ayam naik.

Setakat ini harga sudah naik RM1.20 sekilogram dan jika tidak dipantau kemungkinan harga akan naik lebih tinggi.

"Kami peniaga tak boleh jual harga tinggi memandangkan harga kawalannya atau siling hanya RM9.40 sekilogram.


"Jika minggu lalu, saya jual ayam dengan harga RM8.30 sekilogram, namun minggu ini perlu jual RM9.40 sekilogram.

"Kalau saya jual dengan harga rendah, saya perlu menanggung kerugian kerana harga yang dibeli daripada pemborong tinggi.

"Jika perkara ini tidak dipantau, ia bukan sahaja membebankan peniaga, malah pengguna lebih terbeban kenaikan harga ayam dan barangan lain," katanya ditemui hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, faktor kenaikan mungkin disebabkan permintaan yang tinggi pada bulan ini kerana ramai yang membeli untuk dijadikan juadah sempena sambutan Maulidur Rasul.

Pelanggan, Azmi Semit, 57, pula berkata harga ayam naik dalam tempoh seminggu ini menyebabkan dia sebagai pembeli rasa terbeban.

"Saya harap pihak berkuasa membuat pemantauan untuk mengelakkan harga ayam ini terus naik ke paras yang lebih tinggi," katanya yang juga penghantar barang.

Ulasan