Himpunan Pertahan Syariah di stadium 18 Nov




KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad V terhadap Kanun Jenayah Syariah yang dipandang ringan dan dipermainkan segelintir masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta negeri Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Tuanku yang meletakkan harapan yang tinggi bagi memperkasa serta mempertahankan Kanun jenayah Syariah.

Katanya, kecaknaan dan keprihatinan Tuanku memperkenan permerkasaan Kanun Jenayah Syariah akan segera diusahakan kerajaan negeri bagi mempertahankannya walau dengan apa jua cara.

“Patik mohon perkenan Tuanku untuk memaklumkan usaha terkini Kerajaan Negeri dalam menghadapi petisyen mencabar kesahan dua puluh (20) peruntukan kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang dibawa ke mahkamah.

“Kerajaan Negeri menyerahkannya kepada mahkamah untuk pengadilan kes ini menurut proses undang-undang. Walau bagaimanapun, patik percaya penggubalan kanun tersebut adalah mengikut tatacara yang betul,” katanya pada kenyataan hari ini.

Sabtu lepas ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Kehormat Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-54, Sultan Muhammad V berharap kerajaan negeri mempertahankan Kanun Jenayah Syariah bagi membanteras dan membendung kes jenayah syariah daripada berleluasa.

Mohd Asri juga berkata, 20 peruntukan kesalahan Syariah dalam Enakmen Syariah Kelantan digubal berdasarkan peruntukan Jadual Kesembilan pada Senarai II – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya ia melalui proses penggubalan selaras undang-undang dan telah diberikan pandangan oleh pengamal undang-undang termasuk mendapat justifikasi Pejabat Mufti Kelantan.

“Daripada sudut agama Islam, wujud keperluan kepada peruntukan-peruntukan tersebut bagi memperuntukkan kesalahan jenayah syariah untuk membendung dan mengawal tingkah laku umat Islam agar selaras dengan hukum syarak.

“Solidariti umat Islam dalam mempertahankan kedaulatan ini dapat dilihat apabila beberapa pihak termasuk Jabatan Agama Negeri-Negeri melalui peguam mereka bertindak sebagai amicus curae, menjadi watching brief dan juga berhujah memohon menjadi pencelah,” ujarnya.

Menurutnya juga kesungguhan kerajaan negeri tetap dan sentiasa konsisten dengan usaha-usaha penyelesaian melalui kaedah perundangan.

Kata beliau kerajaan negeri juga mengadakan Himpunan Munajat Pertahan Syariah Peringkat Negeri pada 18 November ini di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.

“Himpunan itu sebagai solidariti rakyat terhadap agenda pemerkasaan Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan sebagaimana yang dititahkan Tuanku.

“Sesungguhnya amat penting bagi umat Islam memahami bahawa urusan kawalan undang-undang melalui pewujudan peruntukan kesalahan jenayah syariah adalah satu usaha untuk kesejahteraan mereka dunia dan akhirat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/10/2023

Ulasan