Kedah pun ada kilang Boeing






KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), sempat memberitahu Perdana Menteri bahawa Kedah juga mempunyai kilang yang membuat komponen untuk syarikat pembuat kapal terbang Amerika Syarikat (AS), Boeing.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah bagi portfolio Industri, Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Pengajian Tinggi, sebelum itu mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat (YB) Tambun yang baru-baru ini pergi ke AS dan membawa pelaburan besar menerusi beberapa syarikat, termasuk Boeing.

“Saya berharap sayap yang diperlukan oleh Boeing dapat juga dibuat di ECM (Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Bukan saja di Negeri Sembilan, kita (Kedah) pun ada kilang Boeing ACM sejak beberapa lama,” katanya dalam mukadimah ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ku Abdul Rahman kemudian ingin tahu dalam mensasarkan pelaburan asing ke Malaysia, sejauh manakah penekanan diberikan terhadap pembangunan bakat tempatan berkemahiran dalam sektor bernilai tinggi dan industri baharu untuk memenuhi keperluan masa depan dalam industri E&E (elektrikal & elektronik) dan angkasa lepas.

Sebagai contoh, katanya inisiatif untuk melahirkan lebih ramai jurutera reka bentuk, selain mempertingkatkan keupayaan penyelidikan teknikal atau saintis tempatan dalam kegiatan R&D (penyelidikan dan pembangunan).

“Selain itu, apakah perancangan khusus kerajaan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan pengusaha tempatan, termasuk Bumiputera untuk menjadi pemain utama dalam rantaian global.

“Apakah status terkini Jawatankuasa Pelaburan untuk memantau pelaburan negara berkenaan, termasuk 19 memorandum yang ditandatangani syarikat Malaysia dan China bagi memastikan dapat dilaksanakan dengan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi tumpuan untuk meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan, terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menampung keperluan permintaan tenaga kerja yang bakal dijana hasil penerimaan pelaburan besar diraih negara.

Katanya, dalam perbincangan bersama pelabur seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk; Syarikat automotif China, Geely dan Infineon Technologies AG (Infineon), wujud keperluan itu yang mesti diambil perhatian kerajaan.

“Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur lima bilion Euro di Kulim Hi-Tech, semua menyatakan sementara tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian.

“Saya sudah sampaikan amanat ini kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor (di universiti) supaya memberikan laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu ini termasuk pengkhususan dalam bidang AI. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

Ulasan