Kes buang sampah merata-rata di Singapura meningkat


SINGAPURA: Singapura mengalami peningkatan individu membuang sampah merata-rata tahun lalu dengan kira-kira 20,000 saman dikeluarkan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan tahunan dikeluarkan NEA hari ini, jumlah itu menyaksikan peningkatan dengan hanya kira-kira 14,000 saman pada 2021 dan sekitar 17,400 saman pada 2020 bagi kesalahan membuang sampah merata-rata.

Selain itu, NEA mengeluarkan hampir 900 amaran terhadap pesalah yang meninggalkan sampah di atas meja termasuk tidak memulangkan pinggan mangkuk dan dulang di gerai, medan selera dan kedai kopi.

Menurut NEA, pihaknya meningkatkan penguatkuasaan di kawasan tumpuan kegiatan membuang sampah merata-rata seperti People's Park Complex dan Tekka Centre dengan menggunakan kamera pengawasan sejak April selain menempatkan pegawai penguat kuasa.

Laporan itu menggariskan maklumat korporat agensi, usaha kemampanan dan inisiatif jangkauan awam.

Memetik laporan CNA, ia menunjukkan jumlah tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap pembuangan sampah dari atas bangunan tinggi mencecah paras terendah dalam tempoh tiga tahun tahun lalu, dengan kira-kira 1,100 tindakan penguatkuasaan.

Angka itu menunjukkan penurunan daripada kira-kira 1,500 saman pada 2021 dan 2,000 saman pada 2020. Tindakan penguatkuasaan membabitkan denda yang dikeluarkan oleh mahkamah, Perintah Kerja Pemulihan (CWO) atau kedua-duanya.

"Membuang sampah dari flat kediaman adalah kesalahan serius, kerana ia mendatangkan bahaya kepada orang ramai, mengotorkan persekitaran dan mengancam kebersihan awam," kata agensi itu.

Selain itu, NEA turut menyiasat purata 31,200 laporan kesalahan membuang sampah dari bangunan tinggi bagi 2020 hingga 2022.

Dalam tempoh sama, pihaknya menggunakan purata 2,600 kamera pengawasan setiap tahun.

Awal tahun ini, pihak berkuasa mengukuhkan undang-undang terhadap pembuangan sampah dari tingkat atas bangunan bertingkat.

Sejak 1 Julai lalu, pemilik berdaftar atau penyewa flat itu dianggap melakukan kesalahan membuang sampah jika itu terbukti berlaku dari unit mereka.

Anggapan itu boleh dinafikan oleh pemilik atau penyewa dalam tempoh 14 hari, dengan membuktikan dia tidak berada di unitnya ketika kesalahan itu, dengan membuktikan mereka tidak bersalah atau memberikan identiti seseorang orang 'yang dipercayai secara munasabah sebagai pesalah'.

Mereka yang membuang sampah boleh dikenakan denda komposisi S$300 (RM1,036.06) untuk kesalahan pertama, manakala pesalah membuang sampah di tempat tinggi akan dibawa ke mahkamah.

Pesalah yang disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dikenakan denda dan dihukum melakukan CWO. Kira-kira 2,200 CWO dikeluarkan dari 2020 hingga 2022.

Di bawah perintah CWO, pesalah dikehendaki membersihkan kawasan awam selama sekurang-kurangnya tiga jam sehingga maksimum 12 jam.

Dalam usaha mengurangkan kesalahan pembuangan sampah, NEA memperkenalkan sesi CWO di kawasan bandar di Chinatown dan Tanjong Pagar pada November 2022 dan di sekitar Farrer Park mulai Julai lalu. - AGENSI

Ulasan