MCA gesa Anwar lepaskan jawatan Menteri Kewangan




SHAH ALAM - MCA menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.

Jurucakap parti itu, Mike Chong berkata, Anwar perlu melantik Menteri Kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada hal-hal ekonomi sekali gus membolehkan beliau memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran negara.


“Pelantikan baharu jawatan ini akan meningkatkan ekonomi negara kita dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan.


“Beliau akan dapat bertindak balas terhadap isu-isu utama dengan cara yang lebih makro dan komprehensif dan dengan itu, ia memastikan penyelarasan serta konsistensi dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.


Mike baru-baru ini dipilih sebagai Timbalan Ketua Pemuda MCA, turut mencadangkan agar Anwar memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu kerana didakwa hanya menimbulkan kontroversi serta gagal melaksanakan tugas mereka.

Tambahnya, Anwar perlu mengambil langkah itu memandangkan rakyat kini dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan pendapatan tidak meningkat, sedangkan kerajaan tiada arah tuju ekonomi yang jelas.

"Berikutan itu, kami menyeru Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengambil pilihan yang disebutkan di atas untuk memberi tumpuan yang lebih baik dalam menyelesaikan dilema ekonomi negara,” ujarnya.

Ulasan