Melayu bela rakyat Palestin sejak 1930, sumbang S$14,000 pada 1949

Suasana di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam pada Perhimpunan Solidariti Freedom For Palestine anjuran MyCARE dan Viva Palestina Malaysia.  - Foto BERNAMA
KELANTANGAN rakyat Malaysia membela Palestin daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh hingga bantahan daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan terhadap keganasan regim Israel yang diluahkan dalam pelbagai bentuk di negara ini hakikatnya bukanlah baharu.

Ini kerana sejak sebelum merdeka, simpati itu sudah diterjemahkan dalam bentuk buah fikiran dan penentangan tokoh dan pertubuhan Melayu, selain penerbitan buku dan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin.

Selepas merdeka, nasib rakyat Palestin terus mendapat tempat terutama dalam jiwa orang Melayu termasuk ketika tercetusnya Perang Arab-Israel pada 1967. Malah kerajaan sendiri terus konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin hingga kini.

Simpati dan pembelaan nasib rakyat Palestin ditindas imigran Yahudi sudah diluahkan sejak 1930 lagi. Akhbar Semangat Islam melaporkan Presiden al-Jamiyyah al-Khairiyyah al-alabiyyah al-Azhariyyah al-Jawah (Persatuan Kebajikan Pelajar Jawi al-Azhar), Abu Bakar Ashaari, bersama sahabatnya Abdul Kahar Muzakkir tiba di Palestin pada tahun itu.

Dalam pertemuan itu, Suruhanjaya Buraq al-Sharif ditubuhkan di bawah Liga Bangsa bagi mengelakkan tercetusnya konflik antara agama. Pada 1931, Mufti Jurusalem, Hajj Amin al-Husayni menganjurkan Persidangan Umum Islam di Palestin bagi menyatukan pandangan umat Islam dalam rangka mempertahankan bumi Palestin.

Abdul Kahar dilantik sebagai Setiausaha Muktamar Alam Islami meskipun ketika itu beliau masih berstatus pelajar tetapi ia tidak menghalang pelajar Melayu di Mesir mengambil berat saudara seagama di Palestin, malah turut memberikan buah fikiran menyelesaikan konflik berkenaan.

Antara tokoh politik Tanah Melayu terawal membela rakyat Palestin ialah Dr Burhanuddin al-Helmy. Pada pertengahan 1930-an, beliau dilaporkan melawat Palestin dan menyertai demonstrasi menentang Perjanjian Balfour 1917 yang menjadi punca penindasan rakyat Palestin.

Sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1936, beliau ditahan British akibat pembabitan itu tetapi ia tidak mematahkan semangat membela rakyat Palestin. Pada 1939, beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang turut memaparkan artikelnya mengenai perjuangan rakyat Palestin.

British mengharamkan penerbitan majalah itu kerana bimbang membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penjajahan British di Tanah Melayu.

Giat, lantang perjuangkan isu Palestin

Pemimpin Melayu lain giat memperjuangkan isu Palestin ialah Sardon Jubir, A Mohd Hussein dan Abdullah Yahaya. Pada 1947, tindakan British menyerahkan isu Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seterusnya mengemukakan Resolusi 181 melalui kaedah pemisahan Palestin kepada wilayah Arab Palestin dan Yahudi menyebabkan mereka mengadakan mesyuarat bagi mencadangkan langkah membantah cadangan berkenaan.

Pada 20 Disember 1947, mesyuarat di bangunan Persatuan Guru Melayu Singapura membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Antipemisahan Palestin Singapura dengan Abdullah dilantik sebagai pengerusi. Seminggu kemudian, jawatankuasa itu menganjurkan perhimpunan dihadiri 500 peserta membantah rancangan pemisahan Palestin.

Persatuan Melayu Singapura juga antara pertubuhan Melayu giat menyokong perjuangan rakyat Palestin terbabit dalam Perang Arab-Israel 1948 antaranya mengusulkan bantahan rasmi terhadap pendudukan Palestin oleh imigran Yahudi ketika Perhimpunan Agung UMNO pada 25 hingga 26 Januari 1948.

Perjuangan membela rakyat Palestin turut disokong Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika Persidangan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) pada Mac 1948 di Maahad al-Ihya' al-Syarif, Gunung Semanggol, Perak.

Ia turut berlaku dalam bentuk penerbitan buku untuk menyedarkan orang Melayu agar peka terhadap isu penindasan rakyat Palestin. Antaranya, buku Perang Suci di Palestin tulisan AH Edrus atau nama sebenarnya Syed Abdullah Hamid al-Edrus.

Mufti Baitulmaqdis turut mengucapkan tahniah atas penerbitan buku itu yang bukan sahaja laris di Tanah Melayu, bahkan mendapat sambutan meriah di Indonesia.

Orang Melayu turut memberikan sumbangan kewangan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin. Pada awal 1949, sejumlah S$14,000 dikumpulkan Singapore Muslim Palestine Relief Committe, sekali gus menunjukkan sikap prihatin yang tinggi.

Hakikatnya, orang Melayu mula bersimpati dan menyokong rakyat Palestin sejak 1930 lagi, sekali gus menjelaskan mengapa hingga kini perjuangan itu cukup dekat dengan hati kita. Bagi orang Melayu, kedudukan Palestin jauh iaitu beribu kilometer bukanlah halangan besar, kerana nasib rakyatnya cukup 'dekat' di hati. Malah kerajaan sendiri terus konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin hingga kini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Ulasan