Nakbah 3.0: Jalan damai atau perang?


PERISTIWA Nakbah (malapetaka) merujuk kepada dua peristiwa besar pada 1948 dan 1967. Hari di mana rakyat Palestin diusir beramai-ramai secara ganas dan kejam oleh pengganas Zionis.
Nakbah 1.0 pada 15 Mei 1948 menyaksikan hampir 750,000 rakyat Palestin daripada 1.9 juta jumlah keseluruhannya telah diusir daripada tanah dan rumah mereka sendiri oleh unit militer Zionis seperti Haganah dan lain-lain. Seterusnya pendatang haram Yahudi pula dibenarkan tinggal di tanah tersebut.

Manakala Nakbah 2.0 pada 1967 pasca perang Enam Hari Arab-Israel menyaksikan lebih banyak wilayah telah dijajah Zionis termasuklah Tebing Barat. Hampir 500,000 pula warga Palestin dihalau dan diusir dari rumah mereka.

Kegilaan yang berlaku pada tahun ini pula, juga boleh dikatakan sebagai Nakbah. Nakbah 3.0 menyaksikan umat Islam di wilayah Gaza khususnya di Utara telah diusir ke wilayah Selatan secara beramai-ramai.

Berulang kali mesej pembantaian dan niat mengusir dinyatakan rejim Zionis termasuklah pada kenyataan terbaru seorang diplomat Israel, Danny Ayalon yang melontarkan idea mengusir warga Gaza sehingga ke Semenanjung Sinai.

Hampir 9 hari sejak Operasi Taufan Al-Aqsa bermula, ribuan bangunan telah hancur dibedil Zionis. Gaza yang menjadi penjara terbuka terbesar di dunia ini boleh dikatakan cuba diratakan Zionis sebagai balas dendam akibat dimalukan pejuang Palestin pada permulaan Operasi Taufan Al-Aqsa.

Hampir 300,000 tentera Zionis telah bersedia menggempur Gaza serta ribuan kereta kebal bersiap sedia. Namun kuasa Allah menurunkan hujan sehingga banjir wilayah Tel-Aviv menyebabkan Israel menangguhkan dahulu operasi darat mereka.

9 hari berlangsung, Israel telah menjatuhkan bom lebih banyak daripada purata Amerika Syarikat menjatuhkan bom setahun di Afghanistan. 9 hari berlangsung, 1,000 kanak-kanak telah dibunuh Zionis. 320 daripadanya adalah bayi!

Hati ini bagai disiat-siat melihat jenazah bayi tidak berkepala diusung rakyat Gaza setelah menjadi mangsa bedilan roket Israel.

Gaza telah dihalang daripada mendapat sebarang air, makanan, bantuan ubat-ubatan dan elektrik sejak 8 hari yang lepas.

3 jenayah perang telah dibuat oleh Zionis iaitu penggunaan bom fosforus putih dan ambulan dan hospital juga tidak terkecuali daripada dibom. Bangunan PBB dan pekerjanya juga tidak ketinggalan menjadi mangsa.

Kementerian Kesihatan Gaza pula mengesahkan Israel membunuh purata 1 rakyat Gaza setiap 5 minit.

Semua ini halal kerana menurut Israel, mereka (warga Palestin) adalah binatang.

Kegilaan-kegilaan yang saya senaraikan ini hanyalah sebahagian sahaja daripada realiti sebenar yang berlaku. Meskipun semua ini berlaku di depan mata kita, cukup lengkap dengan bukti video dan gambar. Namun dunia tetap membisu dan hanya mampu berdemonstrasi.

Maka semua ini menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam, sampai bilakah penjajahan ini akan berlaku dan apakah solusi yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan isu terbesar umat Islam ini?

Apakah jalan perang yang berat sebelah menjadi jawapan? Atau jalan rundingan yang terbukti tidak akan diingini Zionis menjadi pilihan? Mana satu pilihan anda?

UTHMAN CHE AZIZ
Projek Anak Muda Islam- HARAKAHDAILY 17/10/2023

Ulasan