PN sokong tubuh negara Palestin merdeka



PERIKATAN NASIONAL (PN) amat prihatin dengan perkembangan membimbangkan di Semenanjung Gaza akibat keganasan rejim Israel.

PN juga mengutuk pencerobohan berulang kali terhadap Masjid Al-Aqsa yang ternyata menjadi antara sebab utama peningkatan ketegangan di rantau itu.

Masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas dan tegas untuk memaksa Israel menghentikan pelanggaran Undang-undang Antarabangsa secara terang-terangan. Israel mesti menghormati resolusi-resolusi antarabangsa yang telah diputuskan melalui Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mengakui hak serta sejarah rakyat Palestin. Masyarakat antarabangsa mesti menghalang peristiwa ini daripada menjadi alasan untuk serangan baharu Israel yang mengancam nyawa orang awam Palestin di Gaza.

PN mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin yang adil dan hak yang sah bagi rakyat Palestin. PN dengan tegas menyokong penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan tahun 1967.

PN juga menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan segera dengan mengusulkan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam pencerobohan Israel dan menzahirkan solidariti dengan rakyat Palestin. 

Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa berdiri bersama untuk menangani krisis ini dan berusaha ke arah penyelesaian yang aman dengan menghormati hak rakyat Palestin.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi
PERIKATAN NASIONAL – HARAKAHDAILY 9/10/2023

Ulasan