Sanusi: Saya terpaksa pertahan diri setelah difitnah MB Selangor

Sanusi: Saya terpaksa pertahan diri setelah difitnah MB Selangor
Diterbitkan: Oct 13, 2023 11:40 AM


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakan sejawatannya di Selangor Amirudin Shari berulang kali memfitnahnya bagi tujuan menjatuhkan reputasinya sebagai menteri besar.

Menurut Sanusi, ini menjadi sebab mengapa dia terpaksa mempertahankan diri dengan menimbulkan isu tatakelola kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Amirudin.

Sanusi berkata demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Okt lepas berhubung saman fitnah Amirudin terhadapnya mengenai dakwaan menteri besar Selangor itu terbabit dalam skandal dengan jutawan Vincent Tan bagi projek pembersihan sungai Sungai Klang.

Sanusi berkata adalah diketahui umum bahawa perang mulut antara dia dan Amirudin telah berlaku sekian lama, dan memuncak apabila menghampiri pilihan raya di enam negeri baru-baru ini.

Sanusi mendakwa Amirudin sendiri dalam banyak keadaan telah mengeluarkan kenyataan bagi mengecam, mengutuk dan memfitnahnya dengan tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak berasas, serta komen-komen yang berniat jahat.

Kenyaatan-kenyataan tersebut kata Sanusi telah menjatuhkan reputasinya di mata masyarakat.

Menurutnya antara fitnah dilakukan Amirudin terhadapnya adalah pada Program Jelajah Madani di Bukit Melawati pada 13 Julai dan dalam satu sidang media selepas program pelancaran Madani Afiat, Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 pada 9 Julai.

"Memandangkan plaintif sendiri telah mengeluarkan kata-kata dan tuduhan fitnah terhadap defendan, defendan terpaksa mempertahankan diri dengan menimbulkan isu-isu tatakelola yang menjadi perbualan dan tanda tanya di kalangan masyarakat berkaitan dengan pentadbiran Plaintif.

"Isu yang ditimbulkan tersebut adalah isu kepentingan awam berdasarkan kepada fakta-fakta yang benar.

"Oleh yang demikian, tindakan plaintif yang kini memfailkan tindakan fitnah terhadap defendan adalah satu cubaan untuk menutup tindak tanduk plaintif sendiri yang turut sama membuat kenyataan fitnah terhadap defendan.

“Perang mulut yang bersifat politik tersebut adalah lumrah biasa di kalangan ahli politik, selagi mana ia berdasarkan kepada isu dan fakta yang benar," kata Sanusi.

Sanusi juga menafikan memfitnah Amirudin dan mendakwa menteri besar Selangor itu memperbesar-besarkan dan memetik ucapannya di luar konteks.

Katanya dia tidak pernah mengatakan bahawa plaintif terlibat dalam salah guna kuasa atau rasuah.

"Defendan tidak pernah sekali-kali membuat tuduhan bahawa plaintif secara langsung telah menyebabkan negeri Selangor dan/atau kerajaan negeri Selangor kehilangan dan/atau mengalami kerugian sekurang-kurangnya sebanyak RM180 juta.

"Apa yang defendan nyatakan adalah projek sekitar Sungai Kelang yang berpotensi untuk mencatat kerugian paling kurang RM180 juta, dan tidak mengaitkannya secara langsung dengan plaintif.

"Defendan tidak pernah sekali-kali membuat tuduhan bahawa plaintif adalah seorang menteri besar yang tidak layak, tidak cekap, korup, mengamalkan kronisme dan pilih kasih;

"Defendan tidak pernah sekali-kali membuat tuduhan bahawa plaintif berpakat sulit dengan peniaga-peniaga, pembela dan/atau pelindung ahli-ahli perniagan berbangsa Cina, memilih kasih dan memperkayakan ahli-ahli perniagaan berbangsa Cina,” kata Sanusi.

Berhubung perkataan “itu cokia punya MB dia bela taukeh” yang disebutkan terhadap menteri besar Selangor itu, Sanusi berkata polisinya selaku menteri besar Kedah telah sedia diketahui rakyat Malaysia bahawa dia mengutamakan nasib rakyat bawahan dan bukan semata-mata golongan kaya.

Jelasnya, perbandingan dibuat dengan pentadbiran Amirudin dalam isu projek Sungai Kelang yang diberikan kepada syarikat berkaitan Vincent Tan yang diketahui umum sebagai tokoh korporat yang kaya.

Bagaimanapun, kata Sanusi, ia merupakan pilihan plaintif dan tidak menyatakan ia satu kesalahan.

"Perkataan “bela” bukanlah perkataan yang membawa konotasi negatif," katanya.

Dalam pernyataan pembelaannya, Sanusi juga menyebut mengenai pembelaan justifikasi (bersedia membuktikan kenyataan yang disangkal di mahkamah), pembelaan ulasan saksama (di mana defendan berhujah bahawa orang awam mempunyai hak untuk mengetahui perkara-perkara melibatkan kepentingan awam) dan Pembelaan Perlindungan Bersyarat (keadaan di mana kata-kata tersebut dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai kepentingan, atau kewajipan undang-undang, sosial atau moral untuk berbuat demikian).

Pada 30 Ogos lalu, Amirudin memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi kerana mendakwa dia terbabit skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Vincent Tan membabitkan projek pembersihan Sungai Klang

Sebelum itu, Tan juga memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi berhubung isu yang sama.

Sanusi diwakili peguam dari firma guaman Faizi & Associates, manakala Amirudin diwakili peguam Haijan Omar.

Ulasan