Tentera zionis gugurkan 6,000 bom seberat 4,000 tan ke Gaza


ANGKA korban rakyat Palestin di Semenanjung Gaza akibat serangan ganas tentera rejim zionis Israel terus meningkat kepada 2,808 orang dengan 10,859 lagi dilaporkan cedera. Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, seramai 254 orang warga Palestin terkorban dengan lebih kurang 562 lagi dilaporkan cedera akibat serangan ganas berterusan rejim zionis Israel.

2. Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyatakan tentera rejim zionis Israel perlu memasuki Gaza dan menghapuskan Hamas. Kerajaan Britain juga bersetuju dengan Joe Biden tentang menghapuskan Hamas sepenuhnya.

3. Di barat daya Chicago, Amerika Syarikat, seorang kanak-kanak berketurunan Palestin berumur 6 tahun meninggal dunia akibat ditikam sebanyak 26 kali dan ibunya yang berusia 32 tahun turut cedera parah akibat ditikam oleh seorang lelaki yang berumur 71 tahun. Polis Chicago menyatakan bahawa kedua-kedua anak dan ibu terbabit disasarkan berikutan beragama Islam dan peperangan yang sedang melanda di Asia Barat yang membabitkan Palestin dan negara haram Israel.

4. Tentera udara rejim zionis Israel pada 6 hari pertama serangan udara ke atas Semenanjung Gaza telah menggugurkan lebih kurang 6,000 buah bom seberat 4,000 tan ke atas Semenanjung Gaza. Ia hampir menyamai jumlah bom yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dalam tempoh satu tahun. Jumlah bom yang digugurkan tentera udara rejim zionis Israel bersamaan dengan suku daripada satu bom nuklear.

5. Dalam satu temuramah dengan SkyNews apabila disoal apakah pandangan negaranya mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, Duta negara haram Israel Tzipi Hotovely menyatakan tidak ada krisis kemanusiaan di Gaza.

6. WHO melaporkan bahawa ketiadaan bekalan eletrik, air dan minyak di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam akan membawa kepada bencana besar.

7. Colombia meminta duta negara haram Israel meminta maaf dan meninggalkan negara tersebut setelah berlaku pertikaian berikutan kritikan keras Presiden Colombia Gustavo Petro terhadap negara haram Israel terhadap serangan ganas di Semenanjung Gaza.

8. Menteri Hak Sosial Sepanyol lone Bellara berkata Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu sewajarnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana jenayah perang. Beliau juga berkata penduduk Semenanjung Gaza ‘tertakluk’ kepada pembunuhan beramai-ramai dengan digalakkan oleh dasar diskrimiasi dan pencerobohan Eropah dan Amerika Syarikat.

9. Rejim zionis Israel meneruskan serangan ganas udara dan laut ke atas kawasan dan bandar di Semenanjung Gaza seperti bandar Gaza, Rafah, kejiranan Al-Shujaia, kem pelarian Jabalia, Beit Hanoun, kem pelarian Nusirat dan kejiranan Tel Hawi yang mengakibatkan kemusnahan besar ke atas Semenanjung Gaza.

10. Angka kematian dalam kalangan pendatang haram yahudi, polis dan tentera rejim zionis Israel telah meningkat kepada lebih 1,400 orang dengan lebih 3,400 lagi dilaporkan cedera.

11. Kumpulan pejuang Palestin meneruskan serangan roket dan artileri ke atas wilayah dan bandar yang dijajah rejim zionis Israel seperti Tel Aviv, Hawloun, Jerusalem, Raim, Kisofim, Zekim, Asqlan, Sedirot, Lapangan Terbang Antarabangsa Bin Ghurion dan penempatan haram yahudi di Gaza termasuk menyasar kumpulan tentera rejim zionis Israel di Kafar Ezzah dan Karam Abu Salem serta pangkalan tentera rejim zionis Israel di Hasteem.

12. Tentera Hizbullah menyasarkan serangan ke arah 5 kawasan yang dijajah rejim zionis Israel di Lubnan yang mengakibatkan kecederaan. Di samping itu juga telah berlaku serangan dan tembak-menembak antara tentera Hizbullah dan tentera rejim zionis Israel di kawasan sempadan Lubnan-negara haram Israel termasuk di penempatan haram Misgav Am di Galilee.

13. Tentera rejim zionis Israel meneruskan serangan ke atas kawasan di utara Lubnan dengan melancarkan serangan artileri ke atas bandar Al-Dheera.

14. Rusia menggesa agar segera diadakan gencatan senjata dan memulakan penyelesaian politik di sebalik ketegangan yang melanda Asia Barat. Rusia juga telah menyerahkan draf kepada Majlis Keselamatan PBB dalam usaha untuk menangani bencana kemanusiaan yang melanda Semenanjung Gaza dan menyatakan Amerika Syarikat bertanggungjawab terhadap krisis yang sedang melanda Asia Barat dan berkemungkinan ia akan bertukar menjadi ‘perang serantau’.

15. Tentera rejim zionis Israel melaporkan beberapa kedudukan tenteranya di sempadan Lubnan berhadapan dengan serangan dari arah Lubnan.

16. Pesawat pejuang tentera udara rejim zionis Israel sekali lagi menyerang dan mengebom pintu sempadan Rafah Al-Bari di selatan Semenanjung Gaza.

17. Kementerian Dalam Negeri Gaza menyatakan bahawa rejim zionis Israel ‘dengan sengaja’ menyasarkan wartawan tempatan, menyebabkan sehingga kini 11 orang wartawan Palestin terkorban.

18. Kanada mengarahkan warganegaranya meninggalkan Lubnan.

Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.

Disediakan oleh:
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/10/2023

Ulasan