Tolak tepi fahaman politik: Malaysia bersatu demi Palestin




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia mempamerkan jiwa yang utuh bersatu apabila tiga perhimpunan yang pada asalnya di tempat yang berbeza, disatukan di sebuah perhimpunan di Masjid Negara pada hari ini.

Perhimpunan Solidariti Rakyat Malaysia Demi Palestin tersebut menyaksikan pemimpin pelbagai parti politik yang berbeza, pemimpin-pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pempengaruh yang hadir memberi sokongan sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin ketika ini yang sedang dihancurkan oleh rejim Zionis Israel.

Beberapa pemimpin parti dan NGO berucap, antaranya Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang menggesa rakyat Malaysia terus memberi sokongan moral kepada mereka yang sedang berjuang di sana serta mendesak hentikan sebarang hubungan normalisasi dengan Israel.

“Sehingga ke hari ini seramai 1,527 nyawa rakyat Palestin telah terkorban dan daripada jumlah itu 600 adalah terdiri daripada kanak-kanak.”

“Kita berhimpun pada hari ini, tanpa mengira parti politik dan agama untuk menyatakan solidariti kita sebagai rakyat Malaysia kepada Palestin.”

Pemuda Palestin, Muhammad bersama dua orang anak saudaranya tidak ketinggalan menyertai perhimpunan Solidariti Rakyat Demi Palestin di Kuala Lumpur pada hari ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Mus’ab Muhammad Sufian)

“Maka, kita mendesak supaya negara-negara Islam yang menormalisasikan hubungan dengan rejim Israel supaya hentikan sebarang rundingan damai.”

“Kita juga mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di bumi Gaza ini,” luahnya.

Turut hadir, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Ustaz Nik Zawawi Salleh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan beberapa ahli-ahli politik, ketua-ketua NGO, asatizah serta pempengaruh yang lain.Solidariti yang cukup utuh ditunjukkan rakyat Malaysia yang berkumpul dalam perhimpunan bagi menyatakan sokongan padu buat Palestin. (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)

Sementara itu, himpunan tersebut juga melibatkan ribuan hadirin yang memberi sokongan tanda solidariti kepada rakyat Gaza di Palestin yang sedang dalam keadaan getir dan kritikal ketika ini.

Turut menyertai himpunan tersebuat ialah warga dari Tanah Arab, termasuk seorang pemuda Palestin yang kebetulan berada di Malaysia, Muhammad, 32, yang hadir bersama dua orang anak buahnya sambil mengenakan mafla palestin sebagai tanda cakna kepada saudaranya di Gaza. – HARAKAHDAILY 13/10/2023

Ulasan