UCAPAN PENANGGUHAN PRESIDEN PAS


UCAPAN PENANGGUHAN PRESIDEN PAS

PAS bukan parti hotel. PAS bukan parti tumpangan untuk menumpang. Kerana cabarannya banyak, mereka yang ingin menumpang agak berkurangan.

Kepada yang datang kepada kita, sangat dialu-alukan antaranya golongan muda yang diperkecilkan.

Dialu-alukan juga tokoh-tokoh besar yang melawan kita suatu ketika dahulu agar bersama-sama kita.

UCAPAN DASAR FASA MENGISI KEMENANGAN

Perbahasan ucapan dasar bertujuan muhasabah agar parti Islam ini terus istiqamah. Terus berjuang selaju-laju, wala dan taat tanpa membantah. Teguh beristiqamah ke hala tuju membujur lalu melintang patah.

Tema ucapan dasar tujuannya adalah untuk mengisi kemenangan.

Tema ini bukan sekadar untuk diucap tetapi untuk dilaksanakan. Supaya tema ini menjadi tema kepada 4 buah negeri yang diperintah PAS. Tujuannya untuk menegakkan syiar Islam secara amali dan praktikal. Bukan retorik, kosmetik hiasan sahaja.

Kita lihat perjuangan di Palestine yang mempunyai Hamas. Tanzim Jihad dari kalangan sunni dan Hizbullah dari kalangan Syiah. Walaupun mereka berlainan mazhab tetapi mereka berpegang dengan rukun Islam, Quran dan Hadis, mereka membuktikan perintah Allah di dalam Al-Quran dan bersatu mempertahankan Palestine.

KELANCARAN PENTADBIRAN PAS YANG SEDANG DILAKSANAKAN

Pertamanya, PAS membawa konsep parti menguasai kerajaan yang selaras dengan perlembagaan PAS.

Demi melicinkan lagi pentadbiran, PAS mewujudkan Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh pemimpin PAS Pusat dari Dewan Harian yang berkebolehan dan berganding bahu dengan tokoh-tokoh terkemuka yang terpilih untuk memandu kerajaan negeri.

Kedua, semua Menteri Besar dari negeri yang PAS kuasai dimasukkan dalam organisasi Dewan Harian. Mereka ini diwajibkan untuk hadir ke setiap mesyuarat Dewan Harian yang diadakan.

Ketiga, Parti membantu kerajaan. Di sini terletak peranan cawangan-cawangan yang memenangi pilihan raya lepas untuk membantu ADUN kawasan masing-masing.

Sekiranya terdapat kelemahan, jangan menumpang untuk menjatuhkan kerajaan. Ibarat jangan menjadi ahli yang menebuk bahtera kapal. Jangan dedahkan kelemahan tetapi berusaha menyelesaikan kelemahan tersebut secara dalaman. Oleh itu cawangan haruslah berperanan sebaiknya membantu ADUN masing-masing.

Seterusnya, saya berharap kepimpinan yang dilantik pada muktamar ini dapat menghadam ucapan Abu Bakar semasa dilantik menjadi khalifah.

Yang kelima, pemimpin perlu rapat dengan ulama yang boleh memberi nasihat dan bukan menjadi pengampu.

Yang terakhir, laksanakan uslub atau polisi dakwah yang berhikmah dengan menyampaikan dakwah mengikut kadar ilmu pendengar tersebut.

Hal ini menjadi peringatan kepada kita, terutamanya pendakwah dan ulama agar membezakan kaedah khutbah Jumaat dan ceramah politik.

Kita bersidang sehingga tamat
Persidangan berlaku menempa Sejarah
Selamat pulang dengan selamat
Sedia berhimpun bila dikerah

YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
(Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69)

Ulasan