UCAPTAMA KETUA DHPP PUSAT - MENEGAKKAN KEADILAN, MENJUARAI KEBAJIKAN

 



UCAPTAMA KONVENSYEN DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS PUSAT
TAHUN 2023

TAJUK : MENEGAKKAN KEADILAN, MENJUARAI KEBAJIKAN

PENDAHULUAN

Yang Dihormati Pengerusi Majlis,
Yang Dikasihi Yang Berhormat Datuk Ustaz Haji Idris bin Ahmad, Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat DHPP
Yang Dihormati para wakil Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Yang Dikasihi Timbalan dan Naib-Naib Ketua DHPP Pusat
Yang Dikasihi Ketua Pemuda dan Wanita DHPP Pusat
Yang Dikasihi Jawatankuasa Kerja DHPP Pusat
Yang Dikasihi Ketua DHPP Negeri-Negeri
Yang Dihormati Para Perwakilan DHPP daripada seluruh Negara

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Kerana perjuangan kita bersatu,
Tegakkan keadilan menjuarai kebajikan.

Pohon cemara rendang membayang,
Menambah ceria kedamaian desa;
Memimpin perpaduan tugas terbilang,
Teruskan usaha ke mercu jaya.

1. Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua para perwakilan yang hadir dari seluruh pelusuk tanahair walaupun terpaksa melalui maya. Sesungguhnya kehadiran tuan-puan sekelian, akan memeriahkan konvensyen kita, menyuntik semangat dan merapatkan saff perjuangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di semua peringkat.

2. Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana pada hari yang bersejarah ini DHPP dapat mengadakan Konvensyen Kali Kelapan. Perlaksanaan Konvensyen ini adalah merupakan satu ruang yang diwujudkan untuk memperkukuhkan perjuangan DHPP dan menjadikan Konvensyen ini sebagai tempat untuk kita bermuhasabah, menilai perjalanan dan aktiviti DHPP sepanjang tempoh setahun yang lalu dan Konvensyen ini juga kita jadikan tempat untuk memberikan pandangan dan idea untuk melebarluaskan peranan DHPP.

PAS CEMERLANG DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE-15

3. Seperti mana yang telah kita ketahui bahawa PAS bersama Perikatan Nasional telah berjaya mencatatkan kejayaan yang gemilang ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan digemilangkan lagi dengan kejayaan PAS ketika menghadapi Pilihanraya Umum Negeri Ke-15 (PRN15) pada bulan Ogos yang lalu. Walaupun PAS tidak berjaya membentuk kerajaan di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi kita telah berjaya membentuk kerajaan di negeri Perlis, mengekalkan kerajaan di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menambahkan jumlah kerusi Parlimen dan DUN yang paling tinggi dalam sejarah.

4. PAS kini mempunyai 43 orang Ahli Dewan Rakyat dari negeri Kedah, Kelantan, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu. PAS mempunyai seramai 148 ADUN di setiap negeri kecuali di Melaka dan Sarawak termasuk seorang ADUN yang dilantik tanpa pilihan raya di Dewan Undangan Negeri Sabah. Bersama Perikatan Nasional, kita berjaya menang 32-0 di Terengganu, 14-1 di negeri Perlis, 43-2 di negeri Kelantan dan 33-3 di negeri Kedah. PAS kini mempunyai empat orang Menteri Besar yang menjadi kebanggaan kita bersama.

5. Saya yakin dan percaya bahawa kejayaan ini bukanlah satu yang mudah untuk dicapai sekiranya kita tidak berusaha dengan perancangan yang rapi dan tersusun serta sokongan dan dokongan daripada rakyat Malaysia secara keseluruhannya kepada kita.

6. Saya juga berbangga kerana kejayaan ini juga didokong kita anggota DHPP di semua peringkat seperti mana yang telah saya serukan kepada semua Pimpinan, Pendokong dan Penyokong DHPP pada Konvenyen DHPP pada tahun lalu supaya kita memberikan fokus kepada persiapan bagi menghadapi PRU15 kerana PRU15 yang lalu adalah sangat penting kepada PAS dan DHPP bagi membentuk kerajaan yang berintegriti, adil dan saksama.

7. DHPP mengambil kesempatan di dalam konvensyen ini untuk mengucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada kepimpinan PAS terutamanya kepada Presiden PAS yang kami sayangi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang kerana telah berjaya memimpin PAS dengan begitu cemerlang sekali sehingga kita berjaya mencapai kejayaan-kejayaan yang telah saya sebutkan tadi.

8. Saya menyeru semua para pimpinan dan perwakilan untuk bangun bagi memberikan satu tepukan gemuruh kepada Tuan Guru Presiden.

DHPP TULANG BELAKANG PAS

Para pimpinan dan perwakilan sekelian,

9. Seperti mana yang seringkali saya ucapkan, DHPP adalah merupakan tulang belakang kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) khususnya dalam usaha untuk memberikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat bukan-Islam dan DHPP adalah medan perjuangan orang bukan Islam untuk diyakinkan terhadap kepimpinan dan dasar diperjuangan oleh PAS.

10. Sejarah kewujudan DHPP yang bermula sejak Kelab Penyokong PAS (KPP) yang telah dilancarkan pada 11 Mac 2004 oleh almarhum Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kita sayangi adalah satu perjalanan yang panjang dan mungkin sebahagian daripada kita telah melalui dari pada awal itu tadi. Sebab itu, apabila kita bercakap tentang DHPP, kita tidak boleh pisahkan dengan KPP kerana kedua-duanya adalah saling berkaitan.

11. DHPP telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2010 oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Dewan Pejabat Tanah Klang, Klang Selangor sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong yang bukan Islam.

12. DHPP telah mengadakan Konvensyen Nasional kali pertama bertemakan ‘Memimpin Perpaduan’ sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak. DHPP telah dijenamakan semula daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Pendukung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Kelantan.

13. Tahun hadapan, usia DHPP akan mencapai usia 20 tahun ataupun Dua Dekad jika kita berpanduakan kepada tarikh 11 Mac 2004. Oleh itu, saya berhasrat melaksanakan Sambutan Dua Dekad DHPP dan saya mencadangkan supaya kita laksanakan di salah sebuah negeri yang kini dipimpin oleh PAS/PN.

MENEGAKKAN KEADILAN

Para seluruh perwakilan sekelian,

14. Di dalam Al-Quran ada di sebut dalam surah Al-Maidah ayat ke 8 ;

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak (kebenaran) kerana ALLAH dan menjadi saksi-saksi dengan adil. Janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”

15. Saya mengambil kata-kata Tuan Guru Presiden PAS dalam menafsirkan tentang Adil menurut Islam. Adil ialah salah satu daripada sifat wajib bagi Allah SWT dan sifat ketuhanan yang Maha Suci daripada segala kekurangan, bahkan mustahil bagi Allah SWT bersifat zalim. Malah, keadilan-Nya tiada bandingan dan tandingan. Maha Adil ialah salah satu daripada nama-nama terbaik bagi Allah SWT. Bahkan, diwajibkan juga berlaku adil sekalipun terhadap musuh yang paling dibenci seperti mana terjemahan Al-Quran yang saya bacakan tadi.

16. Di dalam Al-Quran juga ada di sebut tentang penegasan kewajipan berlaku adil kepada seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk tanpa mengira perbezaan taraf hidup, agama dan bangsa iaitu dalam Surah al-Nahli ayat ke 90.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kalian (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kalian mengambil peringatan dengan mematuhi-Nya.”

17. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah pentingnya kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya berlaku adil kepada semua termasuklah kepada pimpinan Pembangkang dan rakyat secara keseluruhannya.

18. Jika dahulu kata perlu berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen maka beliau mestilah mengotakan kata-katanya dahulu, jika dahulu beliau kata akan turunkan harga petrol dalam tempoh 24 jam bila dilantik sebagai Perdana Menteri maka perlu ditepati janji itu, jika dahulu beliau kritik Menteri Kewangan kerana matawang negara jatuh, sekarang beliau sebagai Menteri Kewangan mendiamkan diri bila mata wang negara jatuh merudum.

19. Ya, memang mudah berkata-kata bila tiada kuasa tetapi bila kuasa ada di tangan, janji tinggal janji, janji tidak ditepati tetapi janji telah dicapati. Semakin hari rakyat semakin tertekan dengan suasana yang ada, kehidupan semakin sukar dengar harga barang yang terus mendadak naik.

MENJUARAI KEBAJIKAN; PENUBUHAN SEBUAH YAYASAN

Para perwakilan sekelian,

20. Kita tidak dapat lari dari menjadikan salah satu dari aktiviti yang perlu diutamakan di dalam DHPP adalah perkara yang berkaitan dengan kebajikan. Bukan sahaja kepada kebajikan rakyat, malah kebajikan ahli perlu kita berikan keutamaan.

21. Di dalam PAS, telah diwujudkan SkimPAS iaitu satu skim yang diwujudkan bagi membantu ahli yang ditimpa kemalangan atau kematian atau kehilangan upaya yang diuruskan oleh Lajnah Kebajikan PAS. Ini adalah sebagai salah satu usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh PAS untuk menyantuni ahli.

22. Namun, bukan semua ahli berkemampuan untuk membuat pembayaran yuran dan bukan semua ahli yang berkeupayaan untuk mengharungi kehidupan seharian.

23. Sebagai satu usaha yang lebih besar untuk merealisasikan hasrat ini, saya ingin mengambil kesempatan di dalam konvensyen DHPP Pusat ini untuk melontarkan cadangan supaya DHPP menubuhkan sebuah YAYASAN yang dipantau oleh PAS Pusat dan DHPP Pusat pada sesi yang akan datang ini.

BERSEDIA MENGHADAPI PEMILIHAN JAWATAN

Para pimpinan dan perwakilan sekelian,

24. Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan bahawa DHPP akan melaksanakan pemilihan Jawatankuasa Kerja khususnya di peringkat Kawasan dalam tempoh dua bulan selepas muktamar PAS Pusat dilaksanakan.

25. Saya menjangkakan bahawa DHPP Kawasan yang cukup syarat berpandukan kepada Aturan dan Peraturan Dewan Himpunan Pendukung PAS akan mula mengadakan Mesyuarat Agung pada bulan Disember nanti.

26. Jika sebelum ini, Ketua DHPP Kawasan dipilih oleh kepimpinan PAS di peringkat Kawasan namun kali ini ahli DHPP akan berpeluang untuk menentukan siapa yang akan mempimpin mereka untuk sesi yang akan datang.

27. Satu Jawatankuasa Pemilihan telah dibentuk oleh PAS Pusat yang diketuai oleh Datuk Ustaz Haji Idris bin Ahmad dan jawatankuasa ini akan menguruskan pemilihan tersebut.

28. Saya selaku Ketua DHPP Pusat amat berbesar hati dengan perkembangan ini kerana sudah tiba masanya kita melangkah ke episod baharu dalam bab pemilihan jawatankuasa DHPP. Saya yakin, DHPP akan lebih matang dan lebih tersusun selepas daripada ini.

PENUTUP

Para pimpinan dan perwakilan,

29. Sebagai penutup, saya igin mengingatkan diri saya dan juga kepada semua para pimpinan dan para perwakilan bahawa kita adalah merupakan sayap PAS yang dikhususkan untuk mendekati masyarakat bukan Islam di Malaysia. Seperti mana yang pernah saya nyatakan sebelum ini, tiada ertinya jika DHPP telah dijenamakan daripada PENYOKONG kepada PENDUKUNG tetapi kita tidak mampu untuk membuktikan peranan kita sebagai Pendukung seperti mana yang diharapkan oleh PAS.

30. DHPP mestilah mendukung visi, misi dan dasar perjuangan PAS. Untuk mendukungnya sudah tentu memerlukan kita untuk benar-benar memahami perjuangan PAS. Perkukuhkan kefahaman terhadap perjuangan PAS iaitu PAS adalah parti yang bergerak dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya.

31. Ikhlaskan diri kita dalam perjuangan. Apabila kita berada di dalam PAS, kita diajar untuk bekerja dengar seikhlas mungkin, bukan menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau mengambil kesempatan untuk mencari kesenangan.

32. Justeru marilah kita bersatu hati, bersatu tenaga dan idea, bergerak dalam satu pasukan yang kuat dengan matlamat yang sama supaya DHPP akan terus mantap dan bergerak sebagai sayap PAS yang disegani dan dihormati oleh semua pihak.

Sekian. Terima kasih. Selamat Berkonvensyen.

TUAN BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat
15 Oktober 2023

Ulasan