Wisma Kementerian Buruh sumbangan Terengganu musnah di Gaza


SHAH ALAM: Kezaliman Zionis Israel ke atas bumi Palestin tidak sekadar menyebabkan nyawa terkorban dan harta benda milik umat Islam musnah, malah kemudahan asas sumbangan negara-negara Islam lain musnah.

Ini termasuk bangunan yang dibina hasil sumbangan kerajaan dan rakyat Terengganu hasil usaha PASRelief turut musnah baru-baru ini.

Sebelum itu pemimpin, perwakilan dan pemerhati yang hadir pada muktamar PAS dipersembahkan video yang memaparkan kerja-kerja pembinaan bangunan Kementerian Buruh di Gaza.

Video terbabit menayangkan struktur bangunan dibina di tapak yang dibersihkan daripada kesan-kesan runtuhan bangunan lama.

Kerja-kerja pembinaan dilakukan penduduk Palestin dengan menggunakan kemudahan yang ada.

Malah video tersebut memaparkan bangunan Kementerian Buruh dirasmikan oleh wakil kerajaan Palestin yang turut dihadiri aktivis Aid4Palestin, Nadir al Nuri Kamaruzaman yang mewakili PASRelief.

Malangnya wisma yang dibiayai kerajaan Terengganu dan PASRelief akhirnya musnah dalam serangan ganas Zionis Israel baru-baru ini. Tragedi yang menyayat hati itu disaksikan perwakilan dan pemerhati PAS.

Menurut jurucakap PASRelief, sebelum ini pihaknya mengumpul sebanyak RM16 juta hasil sumbangan ahli-ahli PAS di seluruh negara.Perjanjian persefahaman antara PASRelief dan wakil Palestin ditandatangani, hari ini.

Katanya, sumbangan itu dimanfaatkan bagi membaik pulih rumah penduduk di Gaza, membeli ambulans dan membina wisma Kementerian Buruh.

Bangunan itu dibina dengan kos lebih RM1 juta dengan penyumbang utama dari Terengganu.

Bagaimanapun pada muktamar hari ini, PASRelief berazam akan membina semula bangunan tersebut bagi menggantikan wisma yang ranap akibat dibom Zionis Israel.

Malah pada muktamar ini juga berlangsung menandatangani perjanjian persefahaman projek menaik taraf hospital di Gaza yang ditandatangani Pengerusi PASRelief, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan wakil Palestin.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pemimpin utama PAS serta perwakilan.

Turut diadakan penyerahan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin, termasuk dari PAS Kedah sebanyak RM400,000; PAS Kelantan RM300,000; PAS Wilayah Persekutuan RM30,000; PAS Terengganu RM300,000.

Selain itu PAS Johor RM128,000; Dewan Pemuda PAS Malaysia RM100,000 dan Dewan Muslimat PAS Malaysia RM78,200 dengan jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima sebanyak RM2.06 juta. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

Ulasan