Banjir Monsun Timur Laut: Status PLSB Sungai Golok


KUALA LUMPUR: Apakah persediaan dan penyelesaian kerajaan untuk memastikan banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) tidak mendatangkan kesan yang teruk kepada penduduk di Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang dan Tumpat?

Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) membangkitkan persoalan itu ketika tiada sebarang kelengkapan yang disediakan apatah lagi projek tebatan banjir sepanjang Sungai Golok sebahagiannya masih dalam peringkat pra pelaksanaan.

Beliau berkata, pam yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini juga dilihat gagal menangani kejadian banjir termenung di beberapa lokasi dalam Parlimen Rantau Panjang dan kawasan sekitar.

“Cuma kebimbangan kita terutamanya rakyat di Rantau Panjang, apabila tibanya (MTL) pada bila-bila masa menjelang hujung tahun ini, sudah tentu dalam keadaan tidak ada kelengkapan sebagaimana yang disebutkan oleh Menteri (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) tadi.

“Sekiranya berlaku banjir besar dalam masa terdekat dalam keadaan masih lagi tebatan ini dalam peringkat pelaksanaan, jadi apa penyelesaian untuk pastikan banjir kali ini tidak memberi kesan yang sangat teruk kepada penduduk,” katanya.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawapannya berkata, kerajaan turut mengakui jumlah pam turut memainkan peranan penting dan pihaknya akan berusaha mempercepatkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sebaik mungkin.

Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya juga berhadapan dengan karenah birokrasi negeri khususnya membabitkan soal kos pengambilan tanah yang tinggi serta menyukarkan serta memperlahankan projek terbabit dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

“Bagi projek tebatan banjir pula sebagaimana YB (Yang Berhormat) semua maklum, ini adalah projek-projek yang besar, kadang-kadang proses pengambilan tanah itu sahaja kos dia kadang-kadang kita dengar lebih besar, bukan kemudahan itu sahaja.

“Namun, proses pengambilan tanah yang kita bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk dilakukan, itu juga mengambil masa yang panjang dan seterusnya bila nak mulakan kerja itu pun satu proses panjang sehingga tiga tahun,” katanya.

Terdahulu pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini, Nik Nazmi menjelaskan mengenai status dan perkembangan projek tebatan banjir Sungai Golok.

Beliau berkata, projek PLSB Sungai Golok mempunyai tiga fasa pelaksanaan itu bermula di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta.

Sementara bagi fasa dua PLSB yang melibatkan Rantau Panjang dan Jeli dengan anggaran kos sebanyak RM879 juta masih dalam pra pelaksanaan serta fasa tiga juga di peringkat pra pelaksanaan dengan kos projek berjumlah RM472 juta.

“Fasa pertama telah dilaksanakan pada 23 April 2018 dan dijangka siap menjelang Ogos 2024 dan sehingga Ogos 2023; dan kemajuan fizikal projek PLSB adalah sebanyak 76 peratus, yang mana fasa ini melibat Tumpat dan sebahagian Pasir Mas.

“Bagi perolehan pam bergerak, ia telah diiklankan pada Julai 2023 dan masih dalam penilaian, JPS telah menempatkan tiga unit pam bergerak hidrolik dan dua pam selam bersama generator di Sungai Golok sebelum tiba MTL,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

Ulasan