'Bukit Aman ambil alih siasatan video bual lucah, jejaki Mr H'

'Bukit Aman ambil alih siasatan video bual lucah, jejaki Mr H'
Oleh Nor Azizah Mokhtar - November 18, 2023 @ 4:14pm
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti individu digelar 'Mr H' yang didakwa mendalangi penyebaran rakaman video perbualan lucah yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti individu terbabit dan pada masa sama, polis akan memanggil semua pihak yang dikenal pasti dapat membantu siasatan dalam kes ini.

"Keterangan Mohammad Agus sudah selesai dirakam selepas beliau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, semalam.

"Setakat ini, Polis Selangor menerima satu lagi laporan membabitkan kes itu. Siasatan kes kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya kepada BH, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Semalam, Hussein mengesahkan menerima satu laporan polis berkait kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Mohammad Agus dalam satu sidang media khas, semalam mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.


Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.

Turut serta ketika sidang media itu ialah individu dikenali sebagai Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir yang mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.

Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Tanpa mendedahkan identiti Mr H, Abdul Wahab yang juga bertugas sebagai Penolong Pegawai J-KOM, berkata apa yang berlaku dalam video yang tular itu adalah konspirasi daripada individu berkenaan.

Dia mendakwa diarah berjumpa Mr H di pejabat lelaki itu pada awal November lalu dan bermula daripada situ, beberapa pertemuan diaturkan Mr H, termasuk dibawa ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa individu yang disebutnya sebagai amat berpengaruh.

Dia mendakwa sepanjang pertemuan, dia diberitahu Mr H mendapat maklumat daripada pihak tertentu bahawa Mohammad Agus terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

"Mr H menyatakan beliau ditugaskan untuk membersihkan J-KOM dari dalam. Beliau turut meyakinkan saya bahawa beliau disokong beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Agus," katanya.

Kelmarin, tular rakaman video mengenai perbualan lucah membabitkan dua individu berkenaan, dengan Mohammad Agus turut dilapor menghantar surat peletakan jawatan beliau selaku Ketua Pengarah J-KOM.

Ulasan