Dua ditahan buang sisa toksik ke saliran air anak Sungai Tebrau

Dua ditahan buang sisa toksik ke saliran air anak Sungai Tebrau
Oleh Mohamed Farid Noh - November 5, 2023 @ 2:36pm
KULAI: Hampir 250 kilogram (kg) dipercayai sisa toksik berbahaya dikesan dibuang ke dalam saliran berhampiran anak Sungai Tebrau, di Jalan Kempas-Seelong, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, dua lelaki masing-masing berusia 46 dan 48 tahun ditahan ketika membuat bahan itu ke dalam saliran berhampiran anak sungai berkenaan.

Pengarah Alam Sekitar Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata dua suspek yang juga pemandu sebuah treler dan kelindannya ditahan polis hasil maklumat awam.

Katanya, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan polis mengenai penahanan dua suspek yang dipercayai sedang membuat pelupusan haram bahan buangan terjadual berbahaya membabitkan sisa toksik berkenaan.
DISYORKAN UNTUK ANDA









"Siasatan JAS di lokasi menemukan kesan berwarna hijau dan merah di atas permukaan tanah selain cecair berminyak berwarna putih dan perang di dalam longkang yang berbau tengik.

"Sisa buangan yang dipercayai bahan terbuang berjadual membabitkan sisa toksik berbahaya itu didapati mengalir ke dalam saliran bersebelahan kebun kelapa sawit berhampiran yang menghubungkan ke anak Sungai Tebrau.

"Pemeriksaan ke atas treler dibawa suspek menemukan 20 buah 'intermediate bulk container I-B-C' mengandungi cecair berwarna hitam, perang dan putih disyaki bahan buangan terjadual membabitkan sisa toksik berbahaya.

"Sampel bahan yang dipercayai sisa toksik yang dibuang itu telah diambil di lokasi kejadian untuk dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis namun menerusi pemerhatian awal ia membabitkan beberapa minyak terbuang dan bahan epoksi. "Siasatan awal mendapati dua suspek berkenaan dipercayai sudah dilakukan sejak bulan lalu" katanya ketika dihubungi.

Pada 16 September 2021, empat wanita daripada Kampung Baru Sri Aman, dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas dan pengsan akibat terhidu bahan dipercayai sisa toksik berbahaya.

Berikutan itu, arahan pengosongan kampung berkenaan dilaporkan dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru, sebelum semua mereka dibenarkan kembali sehari selepas kejadian.

Lokasi kejadian dua tahun lalu itu terletak kira-kira lima kilometer daripada lokasi dua suspek yang ditahan awal pagi semalam, membuang bahan dipercayai sisa toksik berbahaya.

Sementara itu, tinjauan berhampiran anak Sungai Tebrau mendapati JAS sudah menutup kawasan berkenaan dengan pita keselamatan bagi mengelakkan dimasuki orang awam.

Kesan berminyak berwarna hitam dapat dilihat dengan jelas sepanjang kira-kira 300 meter saliran berkenaan dengan 'oil boom' turut diletakkan bagi menghalang pencemaran merebak ke kawasan lebih besar.

Seorang peniaga kedai makan di Jalan Kempas-Seelong, Abu Hanzalah Mohd Radzi, berkata beliau terhidu bau tengik dan amat busuk sejak beberapa hari lalu.

"Pendingin hawa kereta sudah rosak menyebabkan apabila memandu terpaksa buka tingkap. Apabila saya lalu di kawasan saliran itu memang dapat bau yang amat busuk dan menyesakkan nafas.

"Saya tidak syak apa-apa kerana di sini memang banyak kilang dan kawasan perindustrian namun hari ini pekerja memaklumkan ada insiden pembuangan bahan dipercayai sisa toksik berlaku tidak jauh dari gerai kami menyebabkan saya risau," katanya.

Seorang penduduk Kampung Pemuda Jaya yang mahu dikenali sebagai Hassan, 27, berkata mereka teringat insiden pembuangan sisa toksik di Kampung Baru Sri Aman tidak jauh daripada sini sehingga menyebabkan ada penduduk pengsan akibat terhidu gas toksik merbahaya.

"Namun musim hujan kebelakangan ini menyebabkan penduduk bimbang jika kesan pencemaran itu merebak," katanya.
JAS memasang ‘oil boom’ bagi menghalang pencemaran merebak ke kawasan lebih luas - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Ulasan