Gaza: Kerajaan digesa usaha pelan pemulihan skala besar


SAYA mendapat tahu bahawa angka kematian akibat serangan tentera penceroboh rejim zionis Israel ke atas Gaza kini melebihi 10,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Ashraf al-Qudra berkata tentera Israel membunuh 10,022 orang dan mencederakan lebih 25,000 yang lain. Jumlah korban itu, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita.

Situasi ini benar-benar memberikan kesan dalam jiwa dan merasakan bahawa masih ada ruang lagi bagi membantu rakyat Palestin secara langsung pada waktu ini.

Pada pandangan saya bantuan yang diberikan perlu diatur dan diberi kepada rakyat Gaza selepas ini haruslah di luar dari kebiasaan yang dilakukan sebelumnya.

Realiti kini, kita telah menyaksikan Gaza yang merupakan sebahagian daripada Palestin mengalami peningkatan korban jiwa termasuk kemusnahan infrastruktur yang teruk sehingga ia tidak mampu diluahkan dengan kata-kata.

Bahkan, banyak bangunan dan fasiliti yang telah siap hasil derma jasa baik rakyat Malaysia turut musnah berkecai.

Cadangan saya kepada Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra merencanakan satu bentuk bantuan berskala besar kepada Gaza bagi memastikan siri-siri usaha pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin dan menyeluruh.

Bantuan berskala besar ini harus merangkumi bantuan terhadap pembangunan semula infrastruktur dari sektor paling besar terjejas seperti kediaman, pendidikan, kesihatan sehingga kepada sekecil-kecil sektor seperti pembinaan pusat rekreasi.

Bantuan ini juga boleh melibatkan sumbangan kewangan dari pihak swasta dan dikoordinasi oleh pihak kerajaan selaku penyelaras utama.

Seperti mana bantuan sama pernah dihulur kepada Bosnia Herzegovina oleh kerajaan Malaysia selepas konflik yang berlaku pada pertengahan dekad 90-an, bantuan ini juga boleh diusahakan secara jangka masa panjang seperti 20 tahun dengan penglibatan semua pihak.

Inilah masanya negara kita boleh mendapat bantuan negara-negara lain bagi memastikan usaha ini mendapat momentum yang lebih kuat bagi memulihkan keadaan yang berlaku di sana.

Keutamaan yang menjadi perhatian rakyat Malaysia adalah bantuan yang diberikan selama ini tidak bersistematik dan tanpa sebarang penyelarasan bersepadu oleh Kerajaan Malaysia akan mengambil masa bagi memulihkan Gaza untuk kembali kepada sedia kala.

Penegasan yang ingin saya zahirkan bahawa usaha solidariti secara langsung melalui bantuan ini akan dapat menaikkan semangat rakyat Gaza selain dari memastikan mereka dapat hidup dengan sempurna semula.

Harapan saya inisiatif yang disuarakan akan dipandang serius sebagai satu kewajipan dalam membantu saudara-saudara kita di Gaza memandangkan kita tidak mempunyai ketenteraan untuk membela mereka dalam menangkis serangan kejam rejim zionis.

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Parit
9 November 2023| 25 Rabiúlakhir 1445 – HARAKAHDAILY 9/11/2023

Ulasan