Houthi Yaman serang Israel: Lebih banyak serangan menyusul


BAITULMAQDIS: Kumpulan pejuang Houthi Yaman telah melancarkan ‘sebilangan besar’ peluru berpandu balistik dan dron ke arah Israel; dan memberi amaran tentang lebih banyak serangan akan menyusul.


Jurucakap kumpulan itu, Yahya Saria berkata, serangan udara, yang terdiri daripada dron serta peluru berpandu balistik pada lewat Selasa (31 Okt) itu dilakukan ‘atas rasa tanggungjawab keagamaan, moral, kemanusiaan dan kebangsaan’ untuk penduduk Gaza, dalam menghadapi kelemahan dunia Arab, dan pakatan sulit beberapa negara Arab dengan Israel.

“Operasi itu juga didorong oleh permintaan rakyat Yaman,” tambahnya.

Saria juga menyatakan bahawa ia adalah serangan ketiga yang dilakukan oleh kumpulan itu terhadap Israel sejak permulaan perang, dan berjanji untuk melakukan serangan lanjut terhadap Israel dengan peluru berpandu dan dron.

Israel sebelum ini berkata ia memusnahkan ‘sasaran udara’ yang tidak dikenal pasti di atas Laut Merah pada pagi Selasa itu.

“Tiada ancaman atau risiko kepada orang awam,” kata tentera Israel.

Insiden itu mencetuskan siren serbuan udara di pusat peranginan pelancong Laut Merah yang terkenal di Eilat dan menyebabkan penduduk berlari mencari perlindungan, lapor Al Jazeera.

Secara berasingan, tentera Israel berkata bahawa ia telah menggunakan sistem pertahanan udara ‘Arrow’ buat pertama kali sejak meletusnya perang dengan Hamas pada 7 Okt lalu untuk memintas peluru berpandu permukaan ke permukaan di Laut Merah yang ditembakkan ke arah wilayahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri kerajaan Houthi, Abdelaziz bin Habtour, mengisytiharkan awal hari itu bahawa dron yang digunakan dalam serangan itu adalah milik negara Yaman.Ilustrasi yang diedar oeh Al-Aqsa Flood menggambarkan senario di Timur Tengah susulan konflik di Semenanjung Gaza pada ketika ini yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

Kejadian terbaharu itu berlaku ketika ketegangan serantau meningkat di tengah-tengah perang Israel-Hamas di Gaza.

“Ini adalah kebimbangan bagi Israel kerana ia sudah terlibat dalam konflik dengan Hizbullah yang disokong Iran di bahagian utaranya,” kata Sara Khairat dari Al Jazeera, melaporkan dari Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Pada 27 Oktober, dron menyebabkan letupan di bandar Laut Merah Mesir Taba dan Nuweiba, berhampiran sempadan Israel.

Kementerian Luar Negeri Israel berkata Houthi yang disokong Iran melancarkan dron dan peluru berpandu ‘dengan niat memusnahkan Israel’.

Insiden itu berlaku dua hari selepas Hamas, kumpulan yang mengendalikan Semenanjung Gaza, berkata ia melancarkan roket ke arah Eilat. Tentera Israel berkata roket itu mendarat di padang terbuka.Perdana Menteri kerajaan Houthi, Abdelaziz bin Habtour (FOTO: Al-Thawra Net)

Juga minggu lalu, tentera Amerika Syarikat berkata sebuah kapal perang tentera laut di utara Laut Merah memintas projektil yang dilancarkan oleh Houthi berpotensi ke arah Israel.

Ketegangan serantau semakin meningkat selepas Hamas melancarkan serangan mengejut di dalam Israel pada 7 Okt lepas.

Sejak itu, Hizbullah telah terlibat dalam pertukaran tembakan rentas sempadan yang semakin sengit dengan Israel. Iran menafikan mempunyai sebarang peranan dalam serangan Hamas.

Sementara itu, Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini telah memperluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, yang telah berada di bawah pengeboman tanpa henti selama lebih tiga minggu.

Kenyataan Kementerian Kesihatan di Gaza berkata lebih 8,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan udara Israel, manakala di Israel, pihak berkuasa mendakwa jumlah kematian di pihaknya melebihi 1,400. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

Ulasan