Jentera berkonsep EV sangat membantu dalam industri sawit



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin menzahirkan rasa teruja melihat banyak jentera pertanian berkonsep ‘kenderaan elektrik’ (EV) dipamerkan di MPOB International Palm Oil Congress and Exhibition (PIPOC) 2023.

Menurut beliau perkembangan itu selaras dengan Paris Agreement yang ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 2015 dahulu yang menyasarkan untuk negara mencapai kadar kosong emisi karbon menjelang 2050.

“Di sini kita dapat lihat teknologi-teknologi baru dan penemuan-penemuan baru dari segi penyelidikan bioteknologi genetik dan juga dari segi pemprosesan minyak kelapa sawit itu sendiri iaitu industri hiliran dan kita dapat lihat banyak penemuan baru.

“Saya sebenarnya sangat teruja hari ini. Dan hari ini saya sangat terkejut bila saya melihat sistem mekanisasi yang ditawarkan untuk perladangan dah mula menggunakan kenderaan EV. Bermakna kita dalam landasan yang betul,” ujar beliau.

Tambah Bakri, banyak jentera baharu yang mereka pamerkan berkonsepkan EV sebenarnya sangat membantu dalam industri sawit itu sendiri yang selama ini dianggap sebagai industri yang banyak membebaskan karbon dan sebagainya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, dengan adanya EV, penggunaan bahan api fosil dapat dikurangkan selain dapat meminimumkan pembebasan gas rumah hijau (GHG).

“Sebenarnya seperti yang saya katakan ia seperti produk-produk baru. Kalau kita lihat tadi orang yang terlibat dalam pameran tu bukan saja orang Malaysia, tapi ada daripada Colombia, Jerman, Jepun dan banyak negara lagi dengan pelbagai teknologi.

“Kita sedang bercakap tentang negara dalam proses perubahan transformasi industri kepada ‘Revolusi Industri 4.0’ (IR40). Kalau kita lihat banyak mempamer-pempamer yang terlibat mereka dah mula menawarkan teknologi yang berasaskan kepada IR4.0 yang sebenarnya suatu yang baik.

“Dan satu lagi yang kita lihat tadi bagaimana daripada empty fruit bunch (EFB), mereka boleh olah kepada ‘renewable energy’ (RE), biomass pallet yang boleh kita gunakan untuk menggantikan minyak fosil dalam kita menjana elektrik dan tenaga yang kita panggil RE. Dan sebelum ni kita tidak pernah tengok hari ini kita dapat tengok,” ujarnya.

Jelas beliau, PIPOC ini suatu persidangan di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh MPOB secara dwitahunan yang sangat memberi faedah kepada pemain industri peringkat tempatan dan antarabangsa.

PIPOC 2023 anjuran Majlis Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 7 hingga 9 November.

“Bagi saya kita dapat lihat satu perkembangan yang sangat menarik dalam industri ini kecuali aspek yang katakan, iaitu saya tak dapat satu alternatif yang boleh digunakan untuk mengganti tenaga penuaian manual. Yang lain sudah dicapai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2023

Ulasan