Kelantan sedia 160 pangkalan hadapan hadapi banjir



KOTA BHARU: Berikutan hujan lebat yang melanda sekarang, kerajaan negeri memperkemaskan gerak kerja persiapan menghadapi kemungkinan banjir di semua peringkat.

Sehubungan itu sebanyak 160 pangkalan hadapan disediakan bagi menghadapi banjir berikutan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, penyediaan kelengkapan melibatkan 16 stor bencana serta sebuah depot simpanan keperluan bencana (DSKB).

“Selain itu sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana dan 108 pembekal pek makanan siap masak juga dilantik di semua jajahan.

“Dari segi persediaan sumber tenaga kerja, aset dan peralatan melibatkan seramai 7,147 petugas,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan 2023-2027 di sini hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassruddin Daud.

Rohani berkata, sumber tenaga tersebut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 agensi lain.

Selain katanya sebanyak 19,537 pelbagai aset seperti kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan-peralatan lain sudah diselenggara bagi memastikan semua berada pada tahap terbaik.

Pada masa sama, katanya sebanyak 456 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan jumlah kapasiti 191,169 orang telah dikenal pasti dan bersedia dibuka sekiranya berlaku bencana banjir. – HARAKAHDAILY 19/11/2023

Ulasan