Kes tinggal anak dalam kereta secara tidak sengaja


BOLEH dikatakan di Malaysia hampir setiap tahun berlaku kes kanak-kanak ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta. Ada yang sempat diselamatkan dan ada yang ditimpa kematian. Tahun ini sahaja sudah beberapa kes berlaku termasuk kes di Ara Damansara iaitu kes bayi 2 tahun maut akibat tertinggal lebih 7 jam di dalam kereta. Merujuk kepada www.KidsandCarSafety.org, data di Amerika Syarikat juga menunjukkan 1,050 orang kanak-kanak telah meninggal sejak tahun 1990 bagi kes tertinggal di dalam kereta. Secara puratanya 38 orang meninggal setiap tahun.

Persoalannya bagaimanakah ia boleh berlaku? Ada banyak faktor penyebab kejadian sebenar. Antaranya kanak-kanak boleh ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta apabila ibu bapa atau penjaga alpa bahawa anak mereka berada di tempat duduk belakang. Kealpaan jangka pendek ini boleh berlaku apabila ibu bapa dan penjaga merasa letih, tertekan atau cemas, terganggu atau mengalami perubahan rutin.

Kealpaan jangka pendek ini adalah semula jadi dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Sangat mudah untuk melupakan perkara semasa kita menjadi ibu bapa atau penjaga. Ini kerana kita sentiasa berfikir dan melakukan banyak perkara setiap hari, kadang-kadang sekali gus.

Terlupa bahawa anak kita berada di tempat duduk belakang kereta adalah sangat berbahaya. Terdapat tiga perkara utama yang boleh kita cuba lakukan untuk membantu diri kita mengingati anak kita serta memastikan mereka selamat:

1. Membuat rutin yang selamat.
2. Mengurangkan gangguan.
3. Mengawal dan menjaga diri kita.

Membuat rutin yang selamat dapat mengurangkan risiko kita meninggalkan kanak-kanak secara tidak sengaja di dalam kereta. Ini kerana rutin yang selamat memberi petunjuk untuk mengingat atau memeriksa bahawa kanak-kanak berada di dalam kereta. Setelah rutin menjadi kebiasaan, kita akan mula memeriksa kanak-kanak secara automatik tanpa bergantung pada ingatan jangka pendek kita.

Bahagian utama rutin selamat adalah memeriksa tempat duduk belakang setiap kali meninggalkan kereta. Terdapat juga beberapa perkara lain yang boleh dibuat dalam rutin kita untuk membantu mengingati bahawa kanak-kanak berada di dalam kereta, seperti:

a. Membuka pintu belakang kereta setiap kali meletak kenderaan, walaupun tidak ada orang di belakang.
b. Letakkan beg atau kotak makanan anak kita di tempat duduk depan di mana kita dapat melihatnya.
c. Tinggalkan sesuatu di tempat duduk belakang di sebelah anak kita. Pilih item yang diperlukan pada akhir perjalanan kereta, seperti telefon, dompet atau beg tangan.
d. Tinggalkan nota atau pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu, di mana kita akan melihatnya apabila hendak keluar dari kereta.
e. Menggunakan peranti yang mengingatkan bahawa anak kita berada di dalam kereta. Seperti cermin tempat duduk belakang, monitor video atau telefon pintar.
Namun akhir sekali jangan lupa pada pencipta dengan membaca doa, surah al-Zukhruf ayat 13-14 yang bermaksud:

“Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya”

“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali”.

Oleh:

Ts. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 10/11/2023

Ulasan